Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

JKM Kelantan Selamatkan 13 Gelandangan Termasuk Enam Warga Asing

11/03/2026 12:27 AM

KOTA BHARU, 10 Mac (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan menyelamatkan 13 gelandangan termasuk enam warga asing dalam operasi bersepadu bagi membanteras kegiatan mengemis di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini hari ini.

Pengarah JKM Kelantan Che Samsuzuki Che Noh berkata kesemua individu berusia antara 30 hingga 75 tahun itu dikesan di beberapa kawasan termasuk bank, pasar dan masjid.

“Mereka dipercayai menjalankan aktiviti mengemis di lokasi tumpuan orang ramai dan sedikit sebanyak menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Tindakan diambil di bawah Akta Orang-Orang Papa 1977 kerana melakukan aktiviti mengemis, merayau serta menimbulkan kacau ganggu di kawasan awam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata operasi bermula pada 10 pagi itu melibatkan 14 pegawai JKM, 10 anggota Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), lima pegawai imigresen serta empat anggota polis.

Che Samsuzuki berkata pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut terhadap kesemua individu terbabit sebelum tindakan selanjutnya diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada manakala enam warga asing itu turut diserahkan kepada Jabatan Imigresen negeri.

Beliau berkata bagi tahun ini, kemasukan pengemis warga asing dilihat semakin berkurangan berbanding sebelum ini berkemungkinan disebabkan penutupan pangkalan haram.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan