Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KPDN Sita 78 Kotak Minyak Masak Paket Di Premis Kediaman 

11/03/2026 10:18 AM

PUTRAJAYA, 11 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita 78 kotak minyak masak paket dengan anggaran nilai rampasan RM5,569.20 dalam serbuan ke atas sebuah premis kediaman di Putrajaya, Isnin lepas.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata serbuan oleh Bahagian Penguat Kuasa menerusi Ops Gasak itu dijalankan susulan aduan yang diterima pihaknya berhubung kegiatan penyimpanan barang kawalan secara tidak sah di sebuah rumah kediaman dua tingkat bagi tujuan urus niaga tanpa lesen sah.

“Premis berkenaan tidak berpagar dan tiada individu berada di lokasi. Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 78 kotak minyak masak paket dengan setiap kotak mengandungi 17 paket bersaiz satu kilogram dan keseluruhan minyak masak itu dianggarkan sebanyak 1,326 kilogram.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Seorang lelaki tempatan hadir ke lokasi dan mengaku anak kepada pemilik premis berkenaan. Kenyataan pemeriksaan premis serta akuan sitaan telah dikeluarkan kepadanya bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, pihak KPDN bertindak menyita kesemua minyak masak paket berkenaan yang dipercayai disimpan dengan niat untuk menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa kebenaran daripada Pengawal Bekalan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan