KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia dengan kerjasama Kumpulan Jakel meraikan 25 anak yatim dan asnaf daripada Pertubuhan Kebajikan dan Perlindungan Nur Qaseh Malaysia menerusi program 'Shopping Raya' sempena persiapan Aidilfitri.
SEDA dalam kenyataan hari ini memaklumkan, program Tautan Kasih 2026 yang berlangsung di Jakel Mall semalam itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) agensi berkenaan.
Menerusi aktiviti tahunan itu, kanak-kanak terlibat diberi peluang memilih sepersalinan kelengkapan raya sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.
Ketua Pegawai Eksekutif SEDA Malaysia Datuk Hamzah Hussin berkata program itu dianjurkan bagi berkongsi kegembiraan serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam menyambut Aidilfitri.
"Program itu ialah inisiatif SEDA Malaysia bagi menyantuni anak-anak Pertubuhan Kebajikan dan Perlindungan Nur Qaseh Malaysia agar mereka turut merasai kemeriahan Ramadan, di samping menghidupkan amalan bersedekah dalam bulan keberkatan ini.
"Kami berbesar hati dapat turun padang bagi menyantuni golongan yang memerlukan dengan memberikan manfaat secara terus kepada penerima 'Shopping Raya' hari ini," katanya dalam kenyataan sama.
Selain kelengkapan pakaian, SEDA Malaysia turut menyediakan sumbangan berbentuk 'goodies' serta duit raya bagi meringankan beban penerima dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang, sekali gus membawa keceriaan kepada mereka.
Sumbangan itu disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Jakel Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi SEDA Malaysia Koh Keng Sen, Pengarah Urusan Kumpulan Jakel Datuk Mohamed Nizam Mohamed Jakel serta ketua-ketua Bahagian SEDA Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial