Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Projek Pembesaran LTAPP Fasa Satu Capai Kemajuan 98 Peratus

11/03/2026 02:06 PM

GEORGE TOWN, 11 Mac (Bernama) -- Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) sedang dijalankan secara berperingkat, dengan dua komponen telah dimulakan sebagai persiapan untuk mengendalikan peningkatan jumlah penumpang dan memperkukuh peranan sebagai hab penerbangan serantau.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai berkata pelan pembesaran lapangan terbang itu dibahagikan kepada tiga fasa utama, dengan fasa pertama yang merangkumi pembinaan bangunan tambahan dan kerja berkaitan telah mencapai kemajuan 98 peratus.

“Fasa kedua merangkumi pembinaan apron dan kemudahan di airside facility, telah mencapai 54 peratus, manakala fasa ketiga yang melibatkan pembinaan bangunan terminal utama dan kerja berkaitan, masih belum bermula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Wong berkata beberapa kerja menaik taraf fasiliti juga telah dilaksanakan untuk meningkatkan pengalaman penumpang, termasuk pelaksanaan pagar automatik baharu bagi urusan pelepasan imigresen, yang kini digunakan oleh pelawat dari 73 negara dan wilayah bagi pelepasan dan 65 negara dan wilayah bagi ketibaan.

Beliau berkata jumlah pagar automatik akan diperluas kepada 12 pintu bagi setiap bahagian menjelang akhir tahun ini bagi menampung peningkatan trafik penumpang.

Selain itu, Wong berkata zon pengambilan e-hailing baharu telah diwujudkan di tingkat bawah tempat letak kereta bertentangan dengan terminal utama manakala Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) juga telah diperkenalkan, dengan pelaksanaan urusan imigresen berasaskan kod QR.

“MyNIISe mengintegrasikan dan menggantikan sistem sedia ada, MyBorderPass, membolehkan penumpang melengkapkan urusan imigresen dengan mengimbas kod QR. Aplikasi ini juga membolehkan pengguna mengakses rekod masuk dan keluar peribadi mereka, sekali gus memberikan proses yang lebih pantas berbanding pemeriksaan pasport secara tradisional.

“Berikutan itu, kini terdapat tiga kaedah untuk urusan imigresen di LTAPP, imbasan pasport di pintu pagar automatik, imbasan kod QR MyNIISe atau kaunter manual,” katanya.

Sementara itu, Wong berkata trafik penumpang LTAPP menunjukkan peningkatan yang stabil, dengan 8.31 juta pergerakan penumpang direkodkan pada 2025 berbanding 7.47 juta pada 2024, mewakili kenaikan sebanyak 11.25 peratus.

Beliau berkata lapangan terbang itu kini mengendalikan purata 22,000 pergerakan penumpang setiap hari, termasuk kira-kira 10,000 penumpang domestik dan 12,000 antarabangsa, selain menguruskan purata 179 pergerakan pesawat harian dan 1,253 pergerakan pesawat mingguan.

Wong berkata 16 apron parkir pesawat sedia ada tidak lagi mencukupi untuk menampung peningkatan bilangan penerbangan, justeru di bawah pelan pembesaran, 12 apron parkir tambahan akan dibina, termasuk enam contact stands.

“Apabila siap, jumlah keseluruhan apron parkir di LTAPP akan meningkat kepada 28, sekali gus meningkatkan kapasiti operasi dan menyediakan infrastruktur penerbangan yang mencukupi untuk menyokong pertumbuhan mampan industri pelancongan negeri,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan