Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen
JOHOR BAHRU, 11 Mac (Bernama) -- Lawatan mengejut ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) sudah menjadi rutin buat Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, namun satu detik melibatkan seorang wanita berkerusi roda kekal terpahat dalam ingatannya sebagai antara kenangan paling menyentuh hati sepanjang menerajui negeri itu.
Permintaan wanita itu yang hanya memohon bantuan lampin pakai buang, bukan sahaja menyentuh naluri kepimpinan beliau, malah membuka matanya terhadap realiti kesempitan hidup yang masih dihadapi segelintir rakyat.
“Wanita ini menjerit daripada jauh memanggil saya, saya pergi kepada dia dan bertanyakan khabar. Saya tanya apa yang saya boleh bantu, dia kata dia perlukan bantuan lampin pakai buang (pampers).
“Jadi dalam hati saya (terdetik), berapa ramai lagi bangsa Johor dalam keadaan begitu? Orang sakit, pampers pun dia tidak mampu untuk beli dan sebagai pemimpin saya sangat tersentuh,” katanya ketika ditanya mengenai detik dan kenangan yang paling menyentuh hati sepanjang empat tahun memimpin Johor.
Beliau berkata demikian dalam temu bual dengan Bernama yang diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj di Saujana, Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor di sini, baru-baru ini.
Onn Hafiz berkata detik itu menjadi antara pemangkin semangat untuk beliau terus melipatgandakan usaha bagi membasmi kemiskinan di Johor, memandangkan keperluan asas seperti itu tidak sepatutnya menjadi bebanan kepada rakyat.
“Sebab itu saya rasa pada peringkat kerajaan negeri, kita akan terus berusaha untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan,” katanya.
Onn Hafiz berkata hasil usaha berterusan, kerajaan negeri telah berjaya mencapai sifar kemiskinan tegar pada dua tahun lepas dan langkah itu diteruskan dengan memberikan tumpuan kepada golongan miskin yang ketika ini berjumlah lebih 4,000 orang.
Beliau berkata pendekatan itu adalah selaras dengan titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang mahu isu kemiskinan ditangani secara tuntas menerusi pendekatan menyeluruh melibatkan kerjasama pelbagai pihak.
"Kami mengambil pendekatan menyeluruh negara untuk memastikan angka ini dapat kita kurangkan dan saya yakin kalau kita benar-benar buat, kita boleh dapat menurunkan angka tersebut, insya-Allah,” katanya.
Pada Jun tahun lepas, rakaman video Onn Hafiz yang didekati wanita berkenaan ketika melakukan lawatan mengejut di HSA tular dalam media sosial dan mendapat perhatian meluas daripada netizen.
Selain meminta bantuan lampin pakai buang, wanita itu turut menyatakan hasrat agar sebuah lagi hospital dibina di negeri itu berikutan kesesakan di HSA.
Pada November lepas juga, Onn Hafiz memaklumkan lebih 5,000 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar berjaya disifarkan sepenuhnya pada April, sekali gus menjadikan satu kejayaan buat kerajaan negeri.
Tumpuan beralih kepada kelompok miskin, dan terdapat 8,249 KIR yang direkodkan pada 31 Okt lepas.
Beliau berkata usaha berkenaan bagi menjunjung titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail agar tiada lagi rakyat di negeri ini berstatus miskin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial