Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Penyakit Buah Pinggang Sering Dikesan Lewat, Peringkat Awal Tidak Tunjuk Gejala - Pakar

11/03/2026 05:22 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Penyakit buah pinggang kronik (CKD), yang sering digambarkan sebagai “penyakit senyap”, berkembang secara senyap dan selalunya hanya dikesan selepas berlaku kerosakan buah pinggang yang ketara, sekali gus memaksa pakar menggesa golongan wanita melakukan pemeriksaan awal.

Pakar Perunding Nefrologi dan Pakar Perubatan Pemindahan Buah Pinggang di Pusat Perubatan Sunway (SMC) Bandar Sunway Dr Rosnawati Yahya berkata banyak pesakit hanya mengetahui keadaan mereka apabila fungsi buah pinggang sudah merosot dengan ketara.

“Tiga peringkat pertama CKD lazimnya tidak menunjukkan gejala. Jika anda menunggu sehingga gejala muncul, anda sebenarnya sudah terlewat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena Hari Buah Pinggang Sedunia yang disambut pada 12 Mac.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata majoriti kes CKD masih didorong oleh keadaan metabolik seperti diabetes dan hipertensi, yang menjejaskan lelaki dan wanita dalam jumlah yang hampir sama.

Data daripada Daftar Pemindahan dan Dialisis Malaysia 2023 menunjukkan diabetes menyumbang 56 peratus daripada kes kegagalan buah pinggang manakala hipertensi menyumbang 30 peratus.

Rosnawati berkata gejala awal CKD sering terlepas pandang kerana ia menyerupai keadaan biasa seperti keletihan, perubahan hormon atau anemia.

Antara tanda yang dikenal pasti ialah keletihan berpanjangan, kelesuan, kerap membuang air kecil pada waktu malam serta bengkak pada kaki, buku lali atau muka.

“Wanita sering menganggap gejala ini sebagai perkara biasa, dengan mengandaikan ia berpunca daripada tekanan, penuaan atau perubahan hormon, bukannya penyakit buah pinggang,” katanya.

Beliau juga memberi amaran bahawa bacaan ujian darah kadangkala boleh menutupi masalah buah pinggang pada peringkat awal dalam kalangan wanita.

“Oleh kerana wanita secara umumnya mempunyai jisim otot yang lebih rendah berbanding lelaki, paras kreatinin ‘normal’ mungkin masih menutupi masalah buah pinggang pada peringkat awal. Bacaan 90 mungkin baik bagi lelaki bertubuh besar tetapi bagi wanita bertubuh kecil, ia boleh menandakan rizab buah pinggang yang berkurangan,” jelasnya.

Dr Rosnawati berkata penyakit sistemik lupus eritematosus (SLE) terutamanya menjejaskan wanita, dengan nisbah wanita kepada lelaki setinggi 9:1 dan penglibatan buah pinggang kekal lebih lazim dalam kalangan pesakit wanita.

Beliau turut menegaskan bahawa peringkat kehidupan tertentu seperti kehamilan dan menopaus juga boleh meningkatkan risiko penyakit buah pinggang dalam jangka panjang.

Komplikasi seperti preeklampsia dan diabetes gestasi boleh menunjukkan masalah vaskular atau metabolik yang mendasari, sekali gus meningkatkan risiko hipertensi, proteinuria dan CKD dua hingga empat kali ganda pada kemudian hari.

“Selain itu, sindrom ovari polisistik (PCOS) muncul sebagai faktor risiko penting tetapi kurang diiktiraf. Ia berkait rapat dengan rintangan insulin, obesiti dan sindrom metabolik. Ia juga boleh menyebabkan diabetes dan tekanan darah tinggi lebih awal dalam kehidupan, yang kedua-duanya menjadi punca utama kerosakan buah pinggang dari semasa ke semasa,” katanya.

Rosnawati menasihatkan wanita, khususnya mereka yang menghidap diabetes, hipertensi, obesiti, penyakit autoimun atau mengalami komplikasi semasa kehamilan supaya menjalani saringan secara berkala.

Beliau berkata tiga ujian mudah boleh membantu mengesan penyakit buah pinggang lebih awal, iaitu ujian darah bagi fungsi buah pinggang, ujian air kencing bagi mengesan protein serta pemeriksaan tekanan darah.

“Protein dalam air kencing adalah antara tanda paling awal kerosakan buah pinggang. Pengesanan awal mengubah segalanya kerana terdapat banyak pilihan rawatan yang tersedia. Matlamat kami adalah pemeliharaan. Jika kita dapat mengurangkan kemerosotan fungsi buah pinggang daripada 10 peratus setahun kepada hanya dua peratus, banyak pesakit mungkin tidak perlu menjalani dialisis,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan