Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Dewan Negara Lulus Ruu Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026

11/03/2026 04:58 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) – Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026 yang bertujuan mengubah kadar pemberian mengikut bilangan penduduk setiap negeri berdasarkan struktur baharu.

Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata cadangan kenaikan kadar berdasarkan struktur bilangan penduduk itu akan memberi manfaat optimum kepada semua negeri, termasuk membantu negeri yang mempunyai bilangan penduduk kecil serta hasil negeri yang terhad.

Selain itu, ia juga bagi memastikan negeri dengan jumlah penduduk lebih ramai turut menerima peningkatan pemberian tahunan yang lebih tinggi, katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibentangkan oleh beliau untuk bacaan kali kedua dan ketiga di Dewan Negara, selepas dibahaskan oleh 15 senator.

“Keputusan mengkaji semula RUU itu merupakan keputusan bersama yang dicapai oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, yang turut disertai oleh menteri besar, ketua menteri dan Premier Sarawak.

“Keputusan untuk mengkaji semula pemberian atau undang-undang ini setiap 10 tahun adalah berdasarkan dapatan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dilaksanakan setiap dekad,” katanya.

Kali terakhir pindaan kepada kadar pemberian ini dibuat ialah 24 tahun lalu iaitu pada 2002.

Liew berkata cadangan pindaan kadar pemberian itu juga akan meningkatkan jumlah pemberian mengurus kepada negeri secara perkapita, khususnya bagi negeri yang mempunyai bilangan penduduk kecil.

“Ini membolehkan negeri-negeri berkenaan menerima peruntukan lebih besar bagi bilangan penduduk dalam kumpulan (tier) pertama. Namun begitu, semua negeri tetap menerima peningkatan pemberian setiap tahun berdasarkan data unjuran penduduk yang disediakan oleh DOSM,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Liew turut mencadangkan agar Ahli Dewan Negara menubuhkan satu jawatankuasa Dewan Negara bagi mengkaji semula hala tuju federalisme, memahami isu semasa serta mewujudkan suasana yang menggalakkan perbincangan mendalam mengenai perkara berkaitan.

Akta itu akan berkuat kuasa pada 1 April ini dan dijangka melibatkan perbelanjaan tambahan sehingga RM538 juta.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan