Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Program Cakna Autisme ATM Bakal Manfaat Sehingga 800 Keluarga

11/03/2026 09:17 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Kementerian Pertahanan menyasarkan kira-kira 500 hingga 800 keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima manfaat melalui Program Cakna Autisme ATM yang akan dilaksana tahun ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata daripada jumlah itu, antara 150 hingga 300 kanak-kanak akan menjalani ujian saringan awal bagi mengesan autisme.

“Program Cakna Autisme ATM ini kita laksanakan dengan kerjasama anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera iaitu Pharmaniaga kerana autisme adalah satu keadaan yang mengganggu interaksi sosial terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Dalam lawatan di seluruh negara apabila kita melaksanakan bantuan kebajikan, kita dapati ramai anak anggota menghidap autisme dan kita tidak boleh biarkan anggota berhadapan cabaran ini sendirian... jadi, kita berpendapat perlu lakukan intervensi,” katanya pada majlis berbuka puasa Menteri Pertahanan bersama pengamal media di sini malam ini.

Beliau berkata program itu dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai tanda awal autisme selain menyediakan saringan awal secara sukarela dan laluan rujukan bagi intervensi awal sekali gus memperkukuh institusi keluarga.

Mohamed Khaled berkata program itu dilaksanakan dalam tiga fasa dengan yang pertama melibatkan kesedaran dan pendidikan diikuti fasa kedua merangkumi saringan awal serta penilaian profesional manakala fasa terakhir memberi tumpuan kepada rujukan dan sokongan lanjut.

“Melalui program ini, kita berharap dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh keluarga yang mempunyai anak menghidap autisme,” katanya.

Beliau berkata usaha itu juga selari dengan penekanan ATM terhadap aspek kebajikan dan kesejahteraan anggota.

“Soal kebajikan dan kesejahteraan merupakan antara tonggak yang diberi penekanan supaya anggota dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas apabila mereka tahu keluarga dan kebajikan keluarga mereka dijaga,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan