PUTRAJAYA, 11 Mac (Bernama) -- Jawatankuasa khas yang dipengerusikan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bagi meneliti perkembangan serta impak ekonomi semasa susulan konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran mula diaktifkan, kata Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata jawatankuasa berkenaan telah dibentuk semalam susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan memulakan mesyuarat bagi menilai perkembangan ekonomi serta kesannya kepada negara.
Bercakap pada sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini, Fahmi berkata hasil penelitian jawatankuasa itu kemudiannya akan dibentangkan dalam satu mesyuarat khas Jemaah Menteri yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat ini.
Terdahulu, Anwar pada sidang media khas hari ini berkata jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan Amir Hamzah yang akan membuat penilaian bersama Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan menteri lain yang berkaitan.
“Jawatankuasa tersebut akan menilai isu berkaitan impak ekonomi pada setiap hari supaya dapat dimaklumkan kepada pimpinan kerajaan,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan.
Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa bekalan minyak di Malaysia adalah terkawal walaupun konflik di rantau itu berpotensi menjejaskan pasaran tenaga global.
“Bekalan produk petroleum di negara ini mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026,” kata beliau.
Ketegangan di Asia Barat kekal tinggi sejak 28 Februari lepas apabila Israel dan AS melancarkan serangan ke atas Iran, yang kemudiannya mencetuskan serangan balas oleh Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.
Keadaan ini menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan laluan perdagangan global khususnya di Selat Hormuz.
Selat sempit yang terletak antara Iran dan Oman itu adalah antara laluan perkapalan paling penting di dunia bagi penghantaran minyak dan gas, dengan sebahagian besar bekalan tenaga global melalui kawasan berkenaan setiap hari.
Sehubungan itu, sebarang ketegangan geopolitik di kawasan itu berpotensi memberi kesan kepada pasaran tenaga, kos logistik serta ekonomi global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial