PUTRAJAYA, 11 Mac (Bernama) -- Langkah kerajaan melaksanakan penjimatan dan mengawal perbelanjaan berikutan ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik di Asia Barat bertujuan memastikan dana sedia ada dapat digunakan bagi keperluan mendesak serta luar jangka.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan perlu bersiap sedia dengan segala aspek perancangan bagi menghadapi kemungkinan kesan konflik berkenaan terhadap ekonomi negara.
“Itu sebabnya antara keputusan yang telah pun dicapai pada mesyuarat Jemaah Menteri ialah kita cuba mengawal perbelanjaan yang discretionary (tidak mendesak).
“Umpamanya, majlis perayaan tahun ini untuk Aidilfitri tidak diadakan untuk memastikan dana tersebut dapat ditabung, dapat disimpan untuk kegunaan yang mungkin lebih mendesak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan, Paduan Kasih MADANI dan Ihya Ramadan Kementerian Pengangkutan (MOT) 2026 di sini hari ini.
Loke berkata perbelanjaan kerajaan untuk tujuan pembangunan dan sosioekonomi termasuk projek pembangunan serta bantuan kepada rakyat akan diteruskan seperti dirancang.
“Perbelanjaan kerajaan tidak dipotong, sebaliknya ia dioptimumkan dan diprioritikan kepada perkara yang memberi impak positif kepada rakyat serta menjaga kesejahteraan mereka,” katanya.
Meskipun tiada sambutan rumah terbuka Aidilfitri, beliau menyarankan supaya majlis kecil-kecilan dapat diadakan di peringkat jabatan agar kemeriahan Syawal dapat dirasai.
“Jadi walaupun kita tak akan adakan majlis rumah terbuka tetapi tidak bermaksud kita tidak meraikan ataupun kita tidak merayakan antara satu sama lain,” katanya.
Sementara itu, Loke berkata MOT kini memantau dengan teliti perkembangan konflik di Asia Barat kerana ia merupakan nadi kepada laluan perdagangan dan tenaga dunia.
Beliau berkata sebarang konflik di rantau berkenaan mempunyai kesan rantaian langsung terhadap ekonomi dan sistem pengangkutan dunia.
“Kita harus menjangkakan kemungkinan berlaku gangguan dalam tempoh penghantaran barangan import,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua kementerian, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak akan menganjurkan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri tahun ini, sebagai langkah berjimat cermat susulan ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik di Asia Barat.
Perdana Menteri berkata keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri itu bertujuan memberi mesej jelas bahawa kerajaan komited mengambil pendekatan lebih sederhana dan berhemat dalam perbelanjaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial