Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kebakaran Lereng Bukit: Orang Ramai Diingatkan Elak Pembakaran Terbuka - Exco

12/03/2026 03:31 PM

SHAH ALAM, 12 Mac (Bernama) -- Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka, khususnya ketika keadaan cuaca panas dan kering yang boleh menyebabkan api mudah merebak serta mencetuskan kebakaran yang lebih besar.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar, malah boleh menjejaskan kesihatan awam serta keselamatan komuniti setempat.

“Orang ramai juga digalakkan untuk segera melaporkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka atau kejadian kebakaran kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan pantas diambil.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi memantau keadaan serta memastikan langkah pencegahan dipertingkatkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jamaliah berkata kerajaan negeri mengambil maklum insiden kebakaran lereng bukit yang berlaku di kawasan Puncak Jalil, Seri Kembangan semalam, yang melibatkan kawasan berkeluasan kira-kira 37 ekar.

Beliau berkata berdasarkan laporan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, operasi pemadaman telah dilaksanakan secara berterusan sejak petang semalam melibatkan beberapa balai bomba antaranya Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan, BBP Cyberjaya, BBP Puchong, BBP Jalan Penchala dan BBP Subang Jaya.

“Status terkini, kebakaran tersebut telah berjaya dipadamkan sepenuhnya pada awal pagi 12 Mac 2026 dan operasi pemadaman ditamatkan pada 3.48 pagi.

“Kebakaran ini tidak melibatkan sebarang mangsa atau kerosakan kepada struktur bangunan dan dimaklumkan juga bahawa kawasan yang terjejas berada di luar kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK),” katanya.

Jamaliah turut merakamkan penghargaan kepada anggota JBPM yang bertungkus lumus mengawal serta memadam kebakaran tersebut sepanjang operasi dijalankan.

“Komitmen dan dedikasi anggota di lapangan amat dihargai dalam memastikan keadaan dapat dikawal dengan pantas serta mengelak kebakaran daripada merebak ke kawasan lain,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan