Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Penjawat Awam Terengganu Terima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri RM500

12/03/2026 09:02 PM

KUALA TERENGGANU, 12 Mac (Bernama) -- Lebih 14,000 penjawat awam Terengganu menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 sempena Aidilfitri bermula hari ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata pemberian bantuan tersebut bagi membantu meringankan beban penjawat awam negeri membuat persiapan menyambut hari raya yang bakal tiba.

"Mengambil kira hari raya tidak lama lagi, kerajaan negeri telah menyalurkan sepenuhnya pada hari ini bantuan khas kewangan berjumlah RM500.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Bantuan kewangan tersebut diberikan kepada semua kakitangan kerajaan tanpa mengikut gred. Semua menerima jumlah yang sama, iaitu sebanyak RM500," katanya selepas Majlis Apresiasi dan Iftar Perdana Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu Kebangsaan (Permata) anjuran Yayasan Terengganu di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keputusan tidak mengadakan rumah terbuka Aidilfitri pada tahun ini, Ahmad Samsuri menyambut baik langkah tersebut.

“Apa yang saya faham ialah maksud yang disampaikan oleh Perdana Menteri itu merujuk kepada penggunaan dana awam. Jadi sekiranya jabatan-jabatan, agensi ataupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri ingin mengadakan program hari raya secara potluck (juadah bawaan) sesama mereka, saya rasa itu tidak menjadi halangan.

“Jadi di peringkat negeri, kita menyambut pandangan yang diberikan oleh Perdana Menteri. Walaupun tidak mengikat kerajaan negeri tetapi saya ingin memaklumkan bahawa pada tahun ini juga tiada rumah terbuka Menteri Besar diadakan seperti sebelum ini,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan