SANDAKAN, 12 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas yang maut tertimbus dalam kejadian tanah runtuh berdekatan Bangunan Blok 10 di sini sepatutnya pulang ke Kota Kinabalu untuk bertemu keluarga semalam.
Anak mangsa, Lionel Aaron Lingam, 45, berkata bapanya, Agustine Frederick J Lingam, 76, telah bersiap untuk ke Kota Kinabalu menaiki pesawat pada 11 pagi, namun hasrat itu tidak kesampaian akibat kejadian pagi semalam.
Beliau berkata semua keluarga berada di Kota Kinabalu kerana bapanya berasal dari Beaufort dan membesar di Papar sebelum bekerja lebih 30 tahun di Sandakan, termasuk empat tahun dalam sektor perhotelan.
“Saya bergegas ke Sandakan selepas mendengar berita yang menimpa bapa, luluh hati. Beg baju dia sudah kemas, tiket penerbangan pun ada. Dia bersedia ke Kota Kinabalu tetapi malangnya berlaku bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima bantuan bencana daripada Kerajaan Negeri Sabah bernilai RM10,000 yang disampaikan oleh Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Walter Kenson di sini hari ini.
Lionel yang menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas bantuan tunai itu berkata jenazah bapanya akan dibawa pulang ke Kota Kinabalu hari ini bagi upacara pengebumian, bagaimanapun lokasi tersebut belum ditentukan.
“Bapa cukup suka tinggal di Sandakan. Saya berterima kasih kepada agensi kerajaan terlibat dalam membantu mengeluarkan bapa daripada runtuhan tanah. Mereka lakukan dengan cepat,” katanya.
Sementara itu, Walter berkata MPS meletakkan satu notis penutupan sementara di Bangunan Blok 10, Lebuh 4 di sini bagi menunggu hasil penyiasatan keselamatan struktur lereng bukit kawasan terjejas.
“Saya jangka siasatan itu akan mengambil masa beberapa hari, termasuk melihat kepada keadaan cuaca tidak menentu ketika ini. Kita akan berusaha untuk mengeluarkan laporan teknikal secepat mungkin.
“Bangunan tidak boleh dimasuki kerana keadaan membahayakan dan penghuni bangunan itu kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara Dewan Masyarakat Bandar Sandakan. Kita akan maklumkan status keadaan mereka,” katanya.
Turut disampaikan pada majlis itu ialah empat bakul makanan, masing-masing dua daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada Lionel.
Agustine maut tertimbus tanah runtuh di belakang sebuah hotel Bangunan Blok 10 di sini dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi semalam selepas cuba menghidupkan generator hotel akibat gangguan bekalan elektrik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial