BUKIT MERTAJAM, 13 Mac (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan bantuan dan sumbangan berjumlah RM1.03 juta untuk memperkukuh peranan koperasi di Pulau Pinang sebagai pemacu ekonomi rakyat.
Menterinya Steven Sim Chee Keong berkata bantuan yang disalurkan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) itu bertujuan merancakkam aktiviti ekonomi koperasi serta meningkatkan keupayaan menjana pendapatan dalam kalangan anggota.
"Sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga kebajikan usahawan kecil dan sederhana (PKS), saya sedar kerajaan perlu bertindak pantas dalam mendepani cabaran geopolitik dunia yang tidak menentu ketika ini.
"Konflik di Ukraine, Gaza serta ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran sudah tentu memberi kesan kepada kita. Oleh itu, kementerian telah mengumumkan pelbagai dana dan pembiayaan khusus untuk PKS, penjaja serta peniaga kecil agar mereka terus berdaya saing," katanya ketika berucap pada Program Coop Talk: Menteri dan Komuniti Bukit Mertajam 2026, di sini, hari ini.
Daripada jumlah keseluruhan sumbangan RM1.03 juta yang diumumkan hari ini, sebanyak RM786,420 diperuntukkan di bawah pembiayaan Tabung Modal Pusingan kepada Koperasi Pekebun Getah Negeri Pulau Pinang Berhad.
Selain itu, bantuan Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (SCOPE) berjumlah RM200,000 turut diberikan kepada Koperasi Kariah Masjid Ibadur Rahman Kepala Batas Pulau Pinang Berhad bagi memperkasa pembangunan ekonomi komuniti.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SKM Puan Noor Afifah Abdul Razak dan Pengarah SKM Cawangan Negeri Pulau Pinang Dr Zainab A Raman.
Pada majlis tersebut, Steven Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam turut menyampaikan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berbentuk bakul makanan bernilai RM5,000 kepada 50 pelajar asnaf dan pekerja am sekolah.
Selain itu SMK Taman Sejahtera turut menerima sumbangan bernilai RM1,000 beserta dua unit televisyen bagi menyokong kemudahan pembelajaran murid.
Menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, beliau juga menyampaikan sumbangan CSR Raya berjumlah RM33,000 yang diagihkan kepada 21 koperasi masjid aktif di Pulau Pinang serta 12 koperasi sekolah di Parlimen Bukit Mertajam bagi membantu anggota golongan B40.
Mengulas mengenai prestasi gerakan koperasi di negeri ini, Sim berkata sehingga 31 Disember 2025, Pulau Pinang merekodkan sebanyak 819 koperasi dengan keanggotaan seramai 171,713 orang.
"Gerakan ini memiliki aset bernilai RM1.29 bilion dengan perolehan sebanyak RM848.90 juta, sekali gus membuktikan koperasi terus memainkan peranan penting dalam ekonomi komuniti selaras dengan aspirasi Dasar Keusahawan Nasional 2030 (DKN2030)," katanya.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial