Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Rumah Terbakar: Bekas Pengarang BH Terima Bantuan Tabung Kasih@HAWANA

14/03/2026 05:17 PM

SHAH ALAM, 14 Mac (Bernama) -- Bekas Pengarang Berita Harian Zubaidah Abdul Rahman yang melecur dan kehilangan rumah akibat kebakaran di Seksyen 3, di sini malam tadi menerima sumbangan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA hari ini.

Sumbangan di bawah dua kategori iaitu kebakaran dan kecederaan masing-masing berjumlah RM5,000 dan RM3,000 itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin mewakili Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Nur-ul Afida berkata sumbangan berkenaan diharap dapat meringankan beban Zubaidah sekeluarga dalam mendapatkan kediaman sementara dan menguruskan keperluan mereka.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Zubaidah seorang wartawan wanita veteran yang sangat disanjungi. Dalam kalangan wartawan wanita, beliau dianggap antara perintis bidang kewartawanan di negara ini.

“Saya juga menyampaikan ucapan simpati Menteri Komunikasi (Fahmi) kerana beliau sepatutnya hadir tetapi disebabkan ada tugasan, beliau minta saya untuk mewakili beliau hari ini,” katanya selepas menyampaikan sumbangan itu dengan turut dihadiri Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Bernama Sharifah Zaini Syed Zain. 

Inisiatif Tabung Kasih@HAWANA yang dilancarkan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 merupakan simbol keprihatinan Kerajaan MADANI dalam menzahirkan nilai ihsan, empati dan penghargaan terhadap pengamal media.

Inisiatif itu membantu wartawan serta petugas media yang masih dalam perkhidmatan atau sudah bersara yang berdepan kesempitan hidup, masalah kesihatan atau memerlukan bantuan segera dalam usaha meringankan beban mereka. 

Sementara itu, Zubaidah, 84, yang melecur tahap dua di belakang badan menzahirkan penghargaan atas sumbangan diberikan.

“Semangat masih ada. Alhamdulillah doktor sudah periksa, tiada kecederaan serius cuma lebam sikit kerana saya jatuh ketika cuba menyelamatkan diri.

“Ini semua ujian Tuhan, kalau sudah ditakdirkan berlaku ia akan berlaku,” katanya yang mendiami rumah itu sejak 50 tahun lepas.

Kejadian kira-kira 8 malam itu turut menyebabkan anak lelaki Zubaidah, Iskandar Muda Zainuddin, 55, melecur kira-kira lima peratus pada bahagian tangan.

Selain rumah yang terbakar kira-kira 90 peratus, kebakaran terbabit turut memusnahkan sebuah kereta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan