KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Kemajuan kerja fizikal projek Hospital Pengajar dan Pusat Kesihatan Prima (PKP) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kota Samarahan telah mencapai 75.65 peratus setakat 25 Feb lepas.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui Pasukan Projek Khas 2 itu menggunakan kaedah reka dan bina dengan kos kontrak semasa sekitar RM489.49 juta.
Beliau berkata projek berkenaan merupakan antara inisiatif penting kerajaan dalam memperkukuh kemudahan kesihatan serta menyokong pembangunan pendidikan perubatan di Sarawak.
“Apabila siap kelak, hospital ini akan menjadi pemangkin kepada peningkatan akses perkhidmatan kesihatan serta pembangunan bakat perubatan tempatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Nanta berkata kerajaan komited memastikan projek itu dapat disiapkan mengikut jadual supaya kemudahan berkenaan dapat memberi manfaat kepada rakyat serta menjadi pusat latihan perubatan yang berkualiti di Sarawak.
Terdahulu, beliau mengadakan tinjauan ke tapak projek berkenaan bagi melihat perkembangan komponen utama termasuk bangunan hospital utama, PKP, klinik pakar dan jabatan kecemasan serta kemudahan sokongan seperti parkir, kawasan landskap terapeutik dan infrastruktur sokongan.
“Saya juga menekankan kepada semua pihak yang terlibat supaya terus memperkukuh koordinasi dan memastikan setiap isu pelaksanaan ditangani secara proaktif bagi memastikan kelancaran projek,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial