Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

BDUI95 Berpotensi Jadi Ekosistem Pengurusan Data Nasional - Ahli Akademik

15/03/2026 12:18 PM

Oleh Mohd Khairi Idham Amran

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang diperkenalkan kerajaan sejak September 2025 berpotensi untuk berkembang sebagai ekosistem pengurusan data berskala nasional yang melangkaui peranannya sebagai mekanisme penyasaran subsidi petrol semata-mata.

Pensyarah Kanan Jabatan Komputeran dan Kecerdasan Buatan, Fakulti Komputeran, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mohamad Shukor Talib berkata inisiatif itu merupakan platform pengurusan data raya yang strategik memandangkan ia melibatkan profil serta tingkah laku ekonomi hampir 33.4 juta penduduk.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata data tersebut merangkumi maklumat kritikal seperti profil pengguna, corak transaksi, serta masa dan jumlah penggunaan petrol bulanan yang boleh dimanfaatkan untuk perancangan negara pada masa hadapan.

"Pengurusan data raya memerlukan ruang penyimpanan besar serta algoritma cekap bagi memastikan akses pantas dan ketepatan maklumat, selain menekankan aspek keselamatan supaya data tidak hilang atau dimanipulasi," katanya kepada Bernama.

Mohamad Shukor berkata menerusi teknologi Pembelajaran Mesin, algoritma tersebut mampu menganalisis dan mempelajari bentuk data bagi memberikan input berharga kepada kerajaan.

“Algoritma tersebut berkemampuan memberikan beberapa maklumat seperti meramalkan penggunaan petrol untuk jangka masa hadapan dan mengelaskan penggunaan inisiatif BUDI95 kepada kumpulan yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata ramalan tersebut boleh dibuat berdasarkan pelbagai faktor seperti hari, waktu puncak, musim perayaan serta jenis kenderaan pengguna, sekali gus membantu kerajaan mengesan profil pengguna bermula daripada kumpulan penggunaan rendah sehingga mereka yang melebihi had subsidi.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM Dr Mohammad Zakri Tarmidi pula berpendapat keberkesanan BUDI95 boleh dipertingkatkan dengan mengintegrasikan Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan analisis lokasi.

“Dengan data geospatial (lokasi) ini, ia boleh digunakan bagi membuat pemetaan kawasan dengan kepadatan penduduk yang layak menerima BUDI95,” katanya.

Beliau berkata analisis berasaskan lokasi dapat mengenal pasti kawasan ‘hotspot’ (kawasan khas), membantu menstabilkan logistik petrol khususnya di luar bandar serta mengesan trend penggunaan luar biasa melalui integrasi dengan sensor Internet Pelbagai Benda (IoT).

Mohammad Zakri berkata integrasi data geospatial turut boleh membantu mengenal pasti “kawasan putih” yang sukar mendapatkan akses stesen minyak, sekali gus membolehkan kerajaan merangka insentif pembukaan cawangan baharu.

“Tanpa data geospatial, data BUDI95 hanya akan menjadi data ‘buta’, iaitu data tidak tahu di mana dan ke mana. 

“Dengan adanya data geospatial, ia menjadikan data ini lebih ‘bermata’, dan visualisasi data akan menjadi lebih baik, seterusnya dapat membantu pihak berkaitan membuat keputusan yang lebih tepat dan cekap,” katanya.

Kedua-dua ahli akademik berkenaan sependapat bahawa keselamatan dan privasi data perlu diberi perhatian serius termasuk penggunaan kaedah anonimisasi serta enkripsi hujung-ke-hujung bagi memastikan ketelusan dan kepercayaan rakyat terus terpelihara.

Di bawah program BUDI95, semua pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak membeli RON95 bersubsidi hingga 300 liter sebulan pada harga RM1.99 seliter.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan