Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan Salur Bantuan Kepada Peniaga Terjejas Akibat Kebakaran Di Pasar Sentral

15/03/2026 12:35 PM

LABUAN, 15 Mac (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan menyalurkan bantuan bencana kepada lapan peniaga yang terjejas akibat kebakaran yang memusnahkan beberapa gerai sayur di Pasar Sentral, di sini, bagi meringankan beban ditanggung mereka.

Bantuan berjumlah RM10,000 itu disampaikan semasa lawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh ke lokasi kejadian untuk bertemu dengan peniaga yang terkesan dan menilai kerosakan yang disebabkan oleh kejadian itu.

Kebakaran yang berlaku sekitar tengah malam 13 Mac itu melibatkan lapan meja jualan sayur-sayuran yang terletak di bahagian pasar basah bangunan Pasar Sentral di bawah Pusat Transformasi Bandar (UTC) Labuan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Hannah berkata sumbangan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan peniaga kecil dan berharap bantuan itu dapat membantu mereka pulih daripada kerugian yang dialami.

"Kerajaan dan pihak berkuasa tempatan akan terus menyokong peniaga yang terjejas oleh kejadian yang tidak dijangka seperti ini," kata beliau semasa lawatan tersebut yang turut diiringi timbalannya Datuk Lo Su Fui serta para pegawai Perbadanan Labuan (LC).

LC, yang menguruskan bangunan Pasar Sentral itu akan menjalankan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan untuk memulihkan kemudahan yang rosak bagi memastikan keselesaan dan keselamatan peniaga dan orang ramai.

Terdahulu, LC mengumumkan pengurangan 50 peratus kadar sewaan bulanan untuk peniaga yang beroperasi di pasar basah dan kering UTC Labuan di Pasar Sentral, yang memberi manfaat kepada 517 peniaga.

Pengurangan sewa yang dilaksanakan bagi tempoh setahun dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 melibatkan gerai dengan sewa bulanan antara RM35 hingga RM3,500 itu bertujuan untuk meringankan beban kewangan peniaga di samping merangsang aktiviti ekonomi dalam komuniti setempat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan