Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KUSKOP Anjur PJMR Di Pulau Pinang, Bantu Rakyat Beli Barang Keperluan Lebih Murah

15/03/2026 03:20 PM

BUKIT MERTAJAM, 15 Mac (Bernama) -- Program Jualan MADANI Raya (PJMR) anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang diadakan di sini dapat membantu orang ramai mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih murah berbanding harga pasaran.

Menterinya Steven Sim Chee Keong berkata selain dapat meringankan beban rakyat terutama menjelang sambutan Aidilfitri, program itu turut merancakkan aktiviti perniagaan koperasi di Pulau Pinang.

"Program itu menawarkan pelbagai barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, makanan dalam tin, daging, ayam dan telur selain keperluan Aidilfitri seperti kuih raya, kerepek dan rempah ratus pada harga lebih berpatutan dengan kebanyakan barangan yang dijual diperoleh daripada koperasi terlibat.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Program dua hari itu menawarkan barangan kira-kira 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran, namun sempena ‘Happy Hour’ (barang ditawarkan pada harga lebih rendah) yang diumumkan hari ini, diskaun ditingkatkan sehingga 30 peratus,” katanya selepas merasmikan Program Jualan MADANI anjuran KUSKOP, di sini, hari ini.

Program yang bermula semalam itu diadakan di pekarangan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam di sini.

Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata PJMR bukan sekadar program jualan, tetapi juga sebahagian daripada usaha KUSKOP bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk memperkukuh peranan koperasi sebagai pengendali jualan yang berdaya saing serta lebih dekat dengan komuniti.

Beliau berkata PJRM itu turut menawarkan tawaran istimewa iaitu jualan 1,000 ekor ayam pada harga RM4 seekor berbanding RM12 pada harga pasaran biasa dan daging dijual pada RM23 sekilogram dengan had pembelian sekilogram bagi setiap pengunjung.

“Semalam kita menerima kira-kira 800 pengunjung dengan jumlah jualan sekitar RM30,000. Kita menyasarkan jualan keseluruhan mencecah RM100,000 sepanjang dua hari penganjuran program ini dengan jangkaan kehadiran 1,000 hingga 2,000 pengunjung," katanya.

Beliau berkata harga yang ditawarkan itu adalah hasil subsidi yang disediakan KUSKOP bagi memastikan barangan dapat dijual pada harga lebih rendah kepada pengguna.

Sim berkata program tersebut merupakan penganjuran pertama bagi tahun ini dan KUSKOP merancang untuk memperluaskannya ke kawasan lain di Pulau Pinang bagi menggalakkan lagi perniagaan koperasi.

Dalam pada itu, KUSKOP menerusi satu kenyataan memaklumkan penganjuran PJMR selari dengan nilai kesejahteraan dalam aspirasi Malaysia MADANI yang mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan rakyat dapat membeli barangan keperluan asas pada harga berpatutan selain mengurangkan tekanan kos perbelanjaan khususnya semasa musim perayaan.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2022, inisiatif strategik ini telah merekodkan nilai jualan terkumpul melebihi RM5 juta dan memberi manfaat langsung kepada 417,816 pengunjung di seluruh negara.

Seorang pengunjung, Zuraidah Ismail, 70, berkata dia datang ke PJMR khusus untuk membeli barangan dapur sebagai persiapan awal menyambut Aidilfitri.

Beliau berkata harga yang ditawarkan jauh lebih rendah berbanding di kedai biasa sekali gus membantu meringankan perbelanjaan harian.

“Memang murah banyak. Sebab itu saya datang juga ke sini walaupun di tempat lain pun ada jualan Rahmah hari ini. Contohnya harga ayam di sini RM4 seekor dan daging pula hanya RM23 sekilogram," katanya yang datang bersama suaminya Abdul Rahman Ahmad, 83.

Sementara itu, Zulkifli Saad, 53, berkata harga ayam yang dijual di lokasi berkenaan jauh lebih murah berbanding harga pasaran dan walaupun ramai orang mahu membelinya dia hanya beratur tidak sampai 20 minit untuk membeli ayam. 

"Inisiatif harga murah barang keperluan terutama ayam dan daging itu sangat membantu terutama ketika orang ramai sedang membuat persiapan menjelang musim perayaan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan