Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Bekalan Gas Dalam Negara Stabil, Cukup Tampung Operasi Loji Jana Kuasa - TPM Fadillah

15/03/2026 09:02 PM

PUTRAJAYA, 15 Mac (Bernama) -- Bekalan gas dalam negara pada masa ini adalah stabil dan mencukupi untuk menampung operasi loji jana kuasa, sekali gus memastikan sistem bekalan elektrik negara kekal stabil dan terjamin.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sistem penjanaan elektrik di Semenanjung menggunakan kira-kira 40 hingga 45 peratus gas asli sebagai bahan api utama.

Beliau berkata sebahagian besar bekalan gas itu diperoleh daripada sumber domestik di Kerteh serta kawasan pembangunan bersama Kawasan Pembangunan Bersama Thailand-Malaysia.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), sedang memantau secara rapi perkembangan semasa krisis geopolitik di Asia Barat, khususnya susulan penutupan laluan Teluk Hormuz oleh Iran pada 2 Mac 2026 yang telah memberikan kesan kepada pasaran tenaga global. 

"Bagaimanapun, perkembangan ini tidak menjejaskan tahap ketersediaan dan jaminan bekalan elektrik negara pada masa ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadillah berkata kerajaan komited melindungi kebajikan pengguna daripada impak kenaikan kos bahan api global melalui kerangka Peraturan Berasaskan Insentif di bawah tempoh Kawal Selia Keempat bagi tempoh 2025 hingga 2027.

Sebarang perubahan kos bahan api seperti gas dan arang batu akan diselaraskan melalui mekanisme Pelarasan Bahan Api Automatik setiap bulan berdasarkan pergerakan kos bahan api sebenar dalam pasaran.

Beliau berkata pada masa ini, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tidak melebihi 600 kilowatt jam sebulan dikecualikan sepenuhnya daripada pelarasan kos bahan api.

“Ini bermakna kira-kira 85 peratus pengguna domestik di seluruh negara tidak akan terkesan dengan turun naik harga bahan api pada pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan perkembangan semasa, kadar Pelarasan Bahan Api Automatik dijangka kekal dalam bentuk rebat hingga April 2026, namun ia berpotensi berubah sekiranya kos bahan api global terus meningkat akibat ketegangan berlarutan di Asia Barat.

Sejak Julai 2025, kerajaan telah menyalurkan tampungan subsidi berjumlah RM2.50 bilion kepada pengguna melalui rebat bil elektrik sebagai insentif kecekapan tenaga. 

Kerajaan turut meneliti langkah mitigasi tambahan sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan sehingga memberikan tekanan melampau kepada kos bahan api.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan