ISKANDAR PUTERI, 16 Mac (Bernama) -- Lebihan rambut terkumpul hasil latihan pelajar Kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dandanan rambut di Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Vokasional Indahpura, yang sebelum ini berakhir di tong sampah diberi ‘nafas baharu’ apabila dimanfaatkan sebagai baja kompos.
Penolong Kanan Pentadbiran Sulasteri Hairodin berkata projek penghasilan ‘Eco Hair Fertilizer’ untuk tanaman sekolah itu bermula pada Januari tahun lepas dan antara inisiatif yang diusahakan dalam menyahut usaha kelestarian alam sekitar selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Beliau berkata kaedah itu membantu pelupusan sisa rambut dengan lebih baik, iaitu penghasilan baja menggunakan gabungan kira-kira 30 peratus sisa berkenaan manakala selebihnya adalah sisa makanan.
“Sebelum ini, rambut yang dipotong oleh pelajar, kami kaut sahaja dan terus buang (tetapi) melihat kepada kuantitinya yang banyak, rugi kalau tidak dimanfaatkan.
“Ditambah dengan guru-guru kami yang suka bereksperimen, maka daripada bahan sisa makanan yang dikumpul termasuk dari kantin, kami olah menjadi kompos,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Sulasteri berkata sehingga kini dianggarkan lebih 50 kilogram baja kompos berasaskan rambut berjaya dihasilkan sebagai produk yang bernilai.
“Kami juga buat eksperimen pada pokok dan alhamdulillah, pokok kami menunjukkan ciri-ciri yang subur dan dengan ini, kami dapat mengelakkan pembaziran daripada membeli baja di luar,” katanya.
Sulasteri berkata cara penggunaanya pula hanya dengan menuangkan sejumlah baja itu pada tanah di dalam pasu setiap dua minggu sekali.
Beliau berkata meskipun belum dikomersialkan, projek itu tetap memberi impak besar kepada mereka dari segi pembelajaran dan kesedaran terhadap pengurusan sisa.
“Ia bukan sahaja dapat mengurangkan pembaziran, malah membentuk minda pelajar agar lebih peka terhadap alam sekitar serta memperoleh ilmu bermanfaat yang boleh digunakan pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata sekolah yang terletak di Kulai itu juga aktif menghasilkan pelbagai inovasi, hasil kajian dan kerjasama guru serta pelajar seperti bom mandian (bath bom) yang turut menggunakan hasil tanaman di sekolah.
Sulasteri berkata sekolah berkenaan juga pernah memenangi beberapa anugerah, termasuk Anugerah Sekolah Terbaik bagi Kategori Sekolah Menengah dalam Karnival Iskandar Puteri Rendah Karbon 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial