Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Aidilfitri: Lebih 200,000 Kenderaan Dijangka Guna Lebuhraya WCE

17/03/2026 06:38 PM

SHAH ALAM, 17 Mac (Bernama) -- West Coast Expressway Holdings Berhad (WCEHB) menjangkakan lebih 200,000 kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) setiap hari sepanjang tempoh 20 hingga 29 Mac ini, susulan peningkatan mendadak trafik sempena cuti Aidilfitri yang panjang. 

Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Libat Urus WCE Syed Mohammed Idid Syed Ahmed Idid berkata lonjakan itu mencerminkan permintaan perjalanan yang tinggi berdasarkan corak perayaan terkini, dengan lebuh raya itu pernah merekodkan antara 160,000 hingga 170,000 kenderaan sehari.

Beliau berkata walaupun beberapa seksyen di Selangor iaitu Seksyen 3, 4 dan 7 masih belum dibuka dan dijangka siap tahun ini, aliran trafik di jajaran sedia ada tetap menunjukkan peningkatan ketara.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“WCE kekal komited untuk memastikan perjalanan selamat dan cekap bagi semua pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati pengguna lebuh raya supaya membuat perancangan awal bagi mengelak kesesakan terutama pada waktu puncak yang dijangka berlaku sebelah petang hingga malam.

Langkah disarankan termasuk memuat turun aplikasi WCE bagi mendapatkan maklumat trafik masa nyata, bertolak awal pagi serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.

Pengguna juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi had laju, memakai tali pinggang keselamatan dan tidak menyalahgunakan lorong kecemasan kecuali ketika kecemasan.

Selain itu, pemandu dinasihatkan berehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan dan berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R) seperti di Sungai Nyior, Perak dan Kapar, Selangor sekiranya berasa letih.

Untuk sebarang bantuan kecemasan, pengguna boleh menghubungi talian bebas tol WCE 1700-81-6600 yang beroperasi 24 jam.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan