Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Aidilfitri: 1.5 Juta Kenderaan Dijangka Masuk Pulau Pinang Mulai Esok

18/03/2026 02:54 PM

BUKIT MERTAJAM, 18 Mac (Bernama) -- Polis menjangkakan 1.5 juta kenderaan akan memasuki Pulau Pinang bersempena cuti sambutan Aidilfitri bermula esok hingga 24 Mac ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata jumlah itu berdasarkan jangkaan Jabatan Siasatan dan Penguatkusaan Trafik (JSPT) melibatkan kenderaan yang melalui Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

“Pada 2024, jumlah kenderaan memasuki negeri ini 1.2 juta manakala tahun lepas 1.35 juta. Tahun ini, kita menjangkakan 1.5 juta akan masuk dan melalui Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 26 Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kontinjen Pulau Pinang di Plaza Tol Juru arah Utara di sini, hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Turut hadir Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Zulkifly Ismail dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Mohamad Shoki Hamzah.

Azizee berkata bagi memastikan kelancaran trafik, 380 pegawai serta anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Pulau Pinang ditugaskan 24 jam sepanjang Op Selamat 26 yang dilaksanakan dalam tempoh berkenaan.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut bekerjasama dengan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), JPJ, JBPM, St John Ambulans, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta PLUS dalam operasi tersebut.

Mengulas lanjut, Azizee berkata polis turut memberi tumpuan kepada lapan kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot dan blackspot kerap berlaku kemalangan.

Jalan dikenal pasti mempunyai kepadatan kenderaan serta blackspot kemalangan ialan Jalan Teluk Air Tawar ke Jalan Bagan Luar di Seberang Perai Utara (SPU), Jalan Perusahaan Perai ke Jalan Kulim di Seberang Perai Tengah (SPT) serta Jalan Besar Simpang Empat Kilometer 12 hingga Kilometer 32 di Seberang Perai Selatan (SPS).

Di Timur laut pula melibatkan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu-Jalan Ayer Itam dan Jalan Ayer Itam-Paya Terubung (Timur Laut), Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Dr Awang di Barat Daya serta Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB)/Open Highway.

Selain penguatkuasaan, beliau menasihati orang ramai yang berhasrat meninggalkan kediaman untuk pulang ke kampung supaya memaklumkan kepada polis dengan mendaftar melalui Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi membolehkan pihaknya membuat rondaan.

Beliau memaklumkan berdasarkan statistik dari 2017 hingga tahun lepas, sebanyak 158,000 penduduk Pulau Pinang telah mendaftar di aplikasi tersebut dengan jumlah pendaftaran mencecah 700 orang untuk tahun ini sahaja, setakat ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan