Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Video AKPK "Cerminan Jiwa" Papar Risiko Perangkap Kredit Ketika Sambutan Aidilfitri

19/03/2026 07:04 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melancarkan video pendek sempena Aidilfitri bertajuk “Cerminan Jiwa” yang memaparkan realiti tekanan sosial dan risiko perangkap kredit ketika membuat persiapan hari raya.

Video itu memaparkan dilema seorang ketua keluarga menerusi watak utama Jiwa, yang berdepan konflik antara memenuhi tuntutan gaya hidup dan mengekalkan kestabilan kewangan jangka panjang. 

AKPK dalam kenyataan hari ini memaklumkan video berkenaan turut menekankan kepentingan tanggungjawab peribadi dan keberanian menolak perbelanjaan tidak munasabah demi keharmonian keluarga dan ketenangan minda.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Video ini turut menggambarkan kesan domino akibat keputusan kewangan terburu-buru tanpa perancangan, termasuk baki akaun menipis, risiko terjerat dengan pinjaman mudah dan penurunan produktiviti,” menurut kenyataan itu.

AKPK menekankan kesejahteraan kewangan sebenar dicapai melalui disiplin simpanan dan pengurusan tunai yang bijak, bukan penyelesaian kredit jangka pendek. 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif AKPK Azman Hasim pula mengingatkan masyarakat bahawa kesejahteraan kewangan sebenar dicapai melalui disiplin simpanan dan pengurusan tunai yang bijak.

Beliau berkata penggunaan penyelesaian kredit sementara seperti Buy Now Pay Later (BNPL) perlu dibuat secara terkawal dan berhemah bagi mengelakkan pengguna terjerumus dalam kitaran hutang. 

“Dengan pengurusan kewangan yang bijak, berbelanja untuk meraikan perayaan bukan sahaja memberi kegembiraan keluarga, malah membina asas kewangan yang kukuh untuk masa depan”, katanya.

Video “Cerminan Jiwa” boleh ditonton di laman media sosial AKPK. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan