Ad Banner
 AM > BERITA

Sindrom Stockholm: Keliru Antara Trauma Dan Sayang - Pakar

21/03/2026 11:36 AM

Oleh Rozainah Abdul Rahim

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Ikatan emosi positif seperti simpati dan rasa sayang yang timbul dalam diri mangsa culik atau penderaan kepada pelaku adalah satu tindak balas psikologi terhadap tekanan ekstrem yang dikenali sebagai Sindrom Stockholm.

Pakar Psikologi Industri dan Organisasi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Dr Siti Aisyah Panatik berkata sindrom itu berlaku apabila mangsa tanpa sedar membina perasaan empati terhadap pelaku sebagai usaha menyesuaikan diri dalam keadaan yang mengancam nyawa mereka.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau yang juga Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM berkata keadaan itu biasanya tercetus apabila mangsa berada dalam situasi terasing dan bergantung sepenuhnya kepada pelaku untuk kelangsungan hidup.

“Antara faktor utama pembentukan sindrom ini adalah apabila mangsa diasingkan sepenuhnya daripada dunia luar, menyebabkan pelaku menjadi satu-satunya sumber maklumat dan keselamatan dalam persepsi mereka (mangsa).

“Apabila pelaku memberikan keperluan asas seperti makanan atau menunjukkan sedikit kelakuan yang tidak kejam, mangsa cenderung menyalah anggap kebaikan kecil itu sebagai tanda keprihatinan atau sifat perikemanusiaan yang sebenar,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sindrom Stockholm dinamakan sempena kejadian rompakan bank di Stockholm, Sweden pada 1973, apabila tebusan mula menunjukkan perasaan positif terhadap perompak dan enggan bekerjasama dengan pihak berkuasa selepas dibebaskan.

Dalam konteks yang lebih luas, Dr Siti Aisyah berkata sindrom itu juga boleh berlaku dalam situasi penderaan jangka panjang dengan kitaran disakiti kemudian dipujuk atau diberi perhatian boleh menyebabkan mangsa mengalami kekeliruan emosi.

“Otak mangsa cuba menyesuaikan diri dengan memproses kekejaman itu sebagai satu bentuk “sayang”. Pada masa sama, mangsa yang beranggapan melarikan diri adalah mustahil akan menjadikan kelangsungan hidup sebagai keutamaan yang dicapai melalui kerjasama serta pembinaan ikatan positif dengan pelaku," katanya.

Beliau berkata kesan psikologi daripada pengalaman itu boleh berpanjangan meskipun mangsa telah dibebaskan termasuk mengalami trauma, kemurungan, perasaan bersalah serta gejala gangguan stres pasca trauma (PTSD) seperti kilas balik kejadian, insomnia, mimpi buruk dan kegelisahan.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata rawatan kaunseling dan terapi psikologi profesional amat penting bagi membantu mangsa memulihkan kesejahteraan emosi mereka.

Dr Siti Aisyah berkata antara kaedah rawatan yang berkesan ialah terapi tingkah laku kognitif (CBT) bertujuan menghapuskan herotan pemikiran yang menjadi asas kepada ikatan psikologi dengan pelaku.

“Selain itu, terapi tingkah laku dialektikal (DBT) juga menawarkan alat praktikal untuk mengurus emosi melampau, membantu mangsa memutuskan ikatan emosi yang tidak sihat dan membina kemahiran hubungan interpersonal yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar memberi sokongan kepada mangsa tanpa menghakimi, memandangkan perasaan simpati terhadap pelaku adalah mekanisme pertahanan diri untuk kelangsungan hidup dan bukannya satu kesalahan.

“Walaupun Sindrom Stockholm adalah tindak balas bertahan hidup yang sukar dielakkan, ia boleh dicegah dengan mengelakkan situasi yang berpotensi memicu seperti segera menjauhkan diri daripada pelaku sebaik sahaja muncul tanda awal keganasan,” katanya.

Banyak mangsa keganasan pasangan kini menggunakan platform media sosial untuk meluahkan perasaan dan nasib masing-masing, namun mengakui enggan berpisah atas faktor sayang sehingga mencetuskan kebimbangan warga maya, seterusnya memberikan nasihat supaya mereka segera mencari bantuan.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan