Ad Banner
 AM > BERITA

Elak Lakukan Pembakaran Terbuka Ketika Musim Panas, Kering - Exco Melaka

22/03/2026 06:25 PM

MELAKA, 22 Mac (Bernama) -- Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka Datuk Rais Yasin mengingatkan orang ramai agar mengelak melakukan pembakaran terbuka pada musim panas dan kering ketika ini.

Beliau berkata keadaan cuaca panas dan kering boleh menyebabkan api mudah merebak seterusnya mencetuskan kebakaran lebih besar.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengeluarkan peringatan kepada orang ramai supaya mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

Ad Banner
Ad Banner

“Justeru, saya berharap seluruh rakyat di Melaka dapat mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak melakukan pembakaran terbuka,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka sempena Aidilfitri anjuran beliau di pekarangan Stadium Hang Jebat, Krubong di sini hari ini.

Majlis itu dihadiri kira-kira 25,000 tetamu dengan diserikan kehadiran Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Rumput berkata Kerajaan Negeri Melaka bersama jabatan serta agensi berkaitan juga dalam keadaan siap-siaga menghadapi kemungkinan seperti musim kemarau dan membuat pemantauan secara berterusan bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin.

“Saya yakin semua pihak sudah diingatkan supaya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, namun kita juga berdoa supaya Melaka sentiasa berada dalam keadaan sejahtera,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan