Ad Banner
 AM > BERITA

Bekas Pekerja Bank Raih Jualan Ratusan Ribu Ringgit Melalui Perusahaan Madu Kelulut

23/03/2026 12:15 PM

MARANG, 23 Mac (Bernama) -- Minat terhadap ternakan lebah madu berputik ketika berada di sekolah menengah lagi hingga mendorongnya belajar dan mengkaji mengenainya, sekali gus memasang impian untuk memiliki perusahaan madu sendiri suatu hari nanti.

Impian menjadi kenyataan bagi Nor Ehsan Abd Rahman, 48, apabila beliau kini mempunyai perusahaan madu kelulut yang berjaya dikembangkan hingga mencatat  jualan ratusan ribu ringgit setahun, sekali gus membuka potensi besar industri itu di Terengganu.

“Saya mula berjinak-jinak dalam ternakan lebih madu sejak tingkatan tiga dengan mengambil sarang lebah liar di hutan dan kawasan kediaman penduduk.

Ad Banner
Ad Banner

“Kini saya berjaya mengusahakan perniagaan madu kelulut yang diberi nama Big Bee Honey dengan memasarkan pelbagai produk berasaskan madu kelulut termasuk makanan dan produk penjagaan seperti sabun,” katanya ketika ditemui Bernama di ladangnya di Hutan Simpan Merchang di sini baru-baru ini.

Bekas pekerja bank itu itu berkata ladang seluas dua hektar itu mula dibangunkan pada 2014 dengan modal RM20,000 dan kini menempatkan lebih 1,000 log koloni kelulut berbanding 300 log pada peringkat awal.

Nor Ehsan berkata setakat ini beliau mempunyai 13 pekerja ladang termasuk peserta dalam kalangan penerima zakat yang mengikuti latihan selama lapan bulan merangkumi penjagaan madu kelulut hingga pengoperasian perniagaan.

Beliau berkata antara cabaran utama menguruskan ladang itu adalah risiko kecurian dan gangguan hidupan liar seperti beruang kerana terletak berhampiran hutan akasia seluas kira-kira 1,400 hektar, yang turut menjadi sumber nektar.

Faktor ini turut membolehkan madu yang dihasilkan dikategorikan sebagai monofloral berasaskan akasia, berbanding multifloral yang diperoleh daripada pelbagai sumber bunga.

Dalam aspek penyelidikan dan pembangunan, Nor Ehsan berkata pihaknya telah menjalin kerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam kajian koloni kelulut, termasuk penyertaan seorang pelajar antarabangsa yang menjalankan tesis di ladangnya.

“Produk Big Bee Honey pernah menembusi pasaran Maghribi menerusi kerjasama dengan UMT dan Universiti Sains Malaysia (USM).

“Di pasaran domestik pula, pengedaran dibuat secara dalam talian melalui platform TikTok dan Shopee selain jualan terus di galeri Big Bee Honey di Kampung Jambu Bongkok, Merchang yang dibuka setiap hari,” katanya yang turut menarik perhatian pelanggan dari United Kingdom, Australia dan Yaman.

Nor Ehsan berkata pada tahun lepas ladang tersebut merekodkan jualan RM300,000 dan pada tahun ini  beliau menyasarkan jualan RM500,000 melalui pengukuhan pemasaran serta peluasan pasaran ke luar negara.

Selain itu, beliau berkata produk Big Bee Honey memiliki pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) oleh Kementerian Kesihatan serta pensijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP), menunjukkan penghasilannya mengikut prosedur ketat dari segi kualiti, kebersihan dan keselamatan makanan.

“Dalam tempoh lima tahun akan datang, saya menyasarkan ladang ini menjadi pusat rujukan, pembelajaran dan latihan praktikal khususnya kepada golongan B40 untuk menceburi penternakan kelulut,” katanya.

Sementara itu, pekerja ladang Maznah Jusoh, 55, berkata dia menyertai program latihan di ladang berkenaan di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB)-UMT selepas berhenti kerja sebagai pekerja kantin sekolah ketika pandemik COVID-19.

“Selepas lima tahun latihan teori dan praktikal, saya diserap sebagai pekerja tetap dan kini memperoleh pendapatan lebih baik,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan