Oleh Nur Fadhliana Shaari
JOHOR BAHRU, 23 Mac (Bernama) -- Keadaan geografi Johor dengan sempadan perairan dan daratan yang luas serta taktik licik sindiket pendatang tanpa izin yang mengubah kaedah operasi, antara cabaran utama Jabatan Imigresen (JIM) negeri ini dalam mengekang aktiviti haram tersebut.
Pengarah Imigresen Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata faktor tersebut menyebabkan kewujudan laluan tikus di sepanjang pantai dengan kawasan seperti Kota Tinggi, Mersing, dan Pontian sasaran utama sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin dari Indonesia.
"Kalau tengok dari Muar sampai ke Batu Pahat, kemudian sampai Johor Bahru, Pengerang, dan Mersing, dikelilingi oleh laut, maknanya luas kawasan itu. Bila kawasan luas maka lorong tikus banyak,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.
Enggan mendedahkan lokasi hotspot tersebut, beliau berkata sindiket ini mengambil peluang menggunakan laluan tidak sah di kawasan perairan dengan bantuan bot pancung pada waktu malam untuk membawa masuk pendatang tanpa izin, terutamanya dari Indonesia.
Mohd Rusdi berkata taktik licik sindiket ini juga sudah berbeza, dengan mereka sentiasa mencari kelemahan dan kebiasaan corak operasi penguat kuasa sebelum mengubah pendekatan dan strategi untuk melakukan aktiviti penyeludupan migran.
Beliau berkata sindiket kini menggunakan bot berkelajuan tinggi selain mempelbagaikan kaedah penyeludupan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Perkara ini dapat dilihat apabila pihak kami berjaya mengesan pendatang tanpa izin yang disorok dalam kontena dan lori penghantaran sebagai transit sebelum dihantar ke lokasi lain, selain rumah sewa terpencil.
“Sindiket penyeludupan ini sering menggunakan taktik yang berubah-ubah dan kreatif, termasuk penggunaan tekong darat, penyamaran sebagai pelancong, serta dokumen palsu. Terdapat kes pegawai keselamatan diugut atau disogok, sekali gus mewujudkan risiko integriti,” katanya.
Beliau berkata JIM Johor sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui pelaksanaan operasi bersepadu dan rondaan bersama.
Dalam pada itu, Mohd Rusdi berkata keterbatasan sumber manusia dan logistik turut menjadi kekangan kepada JIM Johor dalam melaksanakan operasi secara lebih meluas dan berterusan.
Beliau berkata walaupun jumlah pegawai mencukupi dari segi perjawatan, operasi berskala besar seperti serbuan memerlukan perancangan rapi serta kekuatan anggota yang mencukupi berikutan risiko keselamatan yang tinggi serta sokongan logistik seperti lori dan kenderaan lain untuk melancarkan operasi,
“Mereka ini bukan mudah nak tangkap. Ada yang agresif dan akan melawan. Dalam situasi pergelutan, kita tidak tahu sama ada mereka memiliki senjata atau tidak, jadi keselamatan anggota adalah keutamaan,” katanya.
Beliau berkata sepanjang tempoh Januari hingga Disember tahun lepas, sebanyak 2,091 operasi dijalankan yang melibatkan pemeriksaan ke atas 58,481 individu dan daripada jumlah itu, seramai 7,052 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Tangkapan tertinggi melibatkan warganegara Myanmar sebanyak 2,115 orang diikuti Indonesia (1,706), Bangladesh (1,652), Pakistan (304), Thailand (255), India (250), China (214), Nepal (201), Vietnam (171), Sri Lanka (35), Filipina (44), Kemboja (55), Singapura (3), Laos (21), Yemen (24), Tanpa Negara (1), Syria (5), Sudan (1), Taiwan (1), Algeria (2), Afghanistan (1) dan Korea (5).
Mohd Rusdi berkata dalam tempoh sama, 4,317 warga asing didakwa di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa.
Sebanyak 64 majikan atau pemilik premis pula didakwa di bawah Seksyen 55B kerana menggajikan individu tanpa pas sah serta Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 kerana membenarkan pendatang tanpa izin memasuki dan tinggal di premis mereka.
Dalam pada itu, beliau berkata antara langkah penambahbaikan yang dilaksanakan pihaknya adalah dengan memperkukuh penggunaan teknologi terkini dalam operasi penguatkuasaan bagi memastikan kaedah pengesanan dan pemeriksaan dokumen dapat dilakukan dengan lebih pantas.
“Sebagai contoh, ketika operasi dijalankan di kawasan yang disyaki terdapat pendatang atau pekerja asing tanpa dokumen sah, anggota boleh terus membuat semakan di lokasi untuk menentukan sama ada permit yang dikemukakan itu sah atau sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata selain penggunaan teknologi, elemen risikan turut memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan sesuatu operasi selain penggunaan teknologi dron yang kini menjadi antara kelebihan baharu dalam membantu operasi di lapangan.
“Kita mempunyai pasukan risikan yang terlatih untuk menjalankan pemantauan awal sebelum sesuatu operasi dilaksanakan, manakala melalui penggunaan dron kita boleh meninjau kawasan sekitar, termasuk laluan keluar masuk dan lorong tertentu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial