Ad Banner
 AM > BERITA

Gangguan Bekalan Air Berjadual Esok Susulan Kerja Baik Pulih LRA Batu Sawar - PAIP

24/03/2026 07:25 PM

KUANTAN, 24 Mac (Bernama) -- Sebanyak 3,500 akaun pengguna Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) di  beberapa kawasan di daerah Maran dan Temerloh akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 9 pagi esok, susulan kerja-kerja baik pulih komprehensif di Loji Rawatan Air (LRA) Batu Sawar. 

Ketua Pegawai Eksekutif PAIP Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan itu melibatkan paip pengepaman, penyambungan tee serta instrumen dalaman penting di loji berkenaan yang dijangka siap pada 9 malam hari sama.

“Kerja-kerja ini perlu dilakukan segera bagi mengelakkan mudarat terhadap pengoperasian loji pada skala yang lebih besar pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata antara kawasan terlibat di Maran ialah Jengka 17, Jengka 18, Jengka 19, Jengka 23, Felda Sungai Nerek dan Felda Kampung Awah serta kawasan sekitar.

“Di Temerloh, kawasan terlibat ialah Kampung Batu Sawar, Kampung Dingkir, Kampung Kerai, Kampung Pulau Pasir Mandi, Kampung Purun, Kampung Macang Manis, Kampung Paya Sendayan, Kampung Galok Kecil, Kampung Nuor, Kampung Paya Perak, Kampung Padang Paku serta kawasan sekitar,” katanya. 

Saiful Zaini berkata bekalan air dijangka disalurkan semula secara berperingkat selepas kerja-kerja penyelenggaraan selesai sepenuhnya dan sistem agihan bekalan air distabilkan, dengan tempoh pemulihan berbeza mengikut jarak lokasi premis dan tekanan dalam sistem agihan.

Bagi mengurangkan kesulitan pengguna, beliau berkata pihaknya akan menyediakan 40 lori tangki air, lapan lori tangki jumbo dan 150 tangki statik sepanjang tempoh gangguan tersebut dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik dan pusat dialisis.

“Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan supaya menyimpan bekalan air secukupnya serta menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan berjadual berkenaan,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan