Oleh Rhoma Ahmad Razali
KUALA NERANG, 25 Mac (Bernama) -- Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Anak Muda MADANI Kedah bercadang memperluas perkhidmatan ambulans percuma ke beberapa daerah lain di negeri ini bagi memenuhi permintaan masyarakat.
Pengerusinya Datuk Zuraidi Rahim berkata langkah itu susulan kejayaan perkhidmatan yang kini ditawarkan di Padang Terap dan Pendang dalam membantu ramai penduduk mendapatkan pengangkutan kecemasan.
Beliau berkata kemudahan itu diwujudkan bagi membantu masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar, mendapatkan perkhidmatan pengangkutan pesakit ke hospital tanpa perlu menanggung kos yang tinggi.
“Ambulans daripada hospital atau klinik kerajaan kadangkala tidak mencukupi dalam situasi kecemasan, manakala ambulans swasta pula mengenakan bayaran perkhidmatan yang tinggi mengikut jarak.
“Bagi penduduk berpendapatan rendah, khususnya di luar bandar, keadaan ini boleh membebankan mereka sekiranya memerlukan perkhidmatan ambulans untuk ke hospital,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Zuraidi berkata usaha memperluas perkhidmatan ambulans percuma itu secara berperingkat mencerminkan komitmen pertubuhan berkenaan dalam memberi perhatian terhadap aspek kesihatan serta pengurusan kematian demi manfaat masyarakat setempat.
Langkah itu juga selari dengan peranan NGO dalam melaksanakan inisiatif kebajikan bagi membantu rakyat di samping pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan.
“Jika ada rezeki, kita akan menambah lagi ambulans supaya lebih ramai penduduk yang memerlukan dapat menggunakan perkhidmatan ini secara percuma,” katanya.
Beliau berkata selain perkhidmatan ambulans darat, pihaknya turut menyediakan dua ambulans air di Langkawi bagi memudahkan urusan membawa pesakit serta jenazah dari pulau peranginan itu ke tanah besar dan sebaliknya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial