Ad Banner
 AM > BERITA

Cuaca Panas: Perlis Rekod Lebih 500 Kes Pembakaran Terbuka Sejak Januari

25/03/2026 03:32 PM

KANGAR, 25 Mac (Bernama) -- Perlis merekodkan sejumlah 523 kes pembakaran terbuka setakat semalam sejak Januari lepas, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin.

Wan Mohd Hamizi berkata angka berdasarkan statistik Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Perlis itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding Mac tahun lepas yang merekodkan hanya 162 kes pembakaran terbuka.

"Pembakaran terbuka ini melibatkan kebun, ladang, hutan, belukar dan lalang, serta sampah," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata peningkatan ketara kes itu antaranya disebabkan cuaca panas di Perlis pada masa ini dan menasihati orang ramai supaya tidak membuang puntung rokok di merata-rata tempat dan perlu memastikan kawasan rumah dan kebun sentiasa bersih.

"Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan pembakaran terbuka, dan segera laporkan (kejadian) kebakaran kepada talian 999," katanya.

Sementara itu, berdasarkan Facebook rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) hari ini, kemas kini status cuaca panas setakat 6 pagi tadi, terdapat 16 kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) termasuk Perlis.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan