Ad Banner
 AM > BERITA

Raja Perlis Tunai Solat Sunat Al-Istisqa' Bersama Hampir 1,000 Jemaah Di Istana Arau

26/03/2026 10:56 AM

ARAU, 26 Mac (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menunaikan solat sunat Al-Istisqa’ bagi memohon hujan bersama hampir 1,000 jemaah terdiri daripada pemimpin dan rakyat negeri itu di Dataran Istiadat, Istana Arau, di sini, hari ini.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam satu kenyataan memaklumkan turut berangkat menunaikan solat sunat bermula 8 pagi itu Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Waris Yang Kedua Negeri Perlis Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Menurut MAIPs solat sunat itu diimamkan dan disampaikan kutbahnya oleh Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) Ahmad Sirajuddin Abdul Satar. 

Ad Banner
Ad Banner

"Pelaksanaan solat Al-Istisqa’ ini merupakan satu ikhtiar memohon rahmat hujan daripada Allah SWT susulan keadaan kemarau dan cuaca panas yang sedang melanda ketika ini.

"Selain sebagai usaha memohon hujan, solat Al-Istisqa’ juga membawa mesej yang lebih mendalam sebagai satu seruan kepada seluruh umat Islam untuk kembali mendekatkan diri kepada Allah SWT, memperbaiki amalan serta bermuhasabah diri dan mengingatkan bahawa setiap nikmat, termasuk turunnya hujan adalah di bawah kekuasaan-Nya," menurut MAIPs.

Sementara itu, MAIPs memaklumkan doa Al-Istisqa’ turut akan dilaksanakan di masjid seluruh Perlis semasa  Khutbah Jumaat berdasarkan teks khutbah yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis (JAIPs) bermula esok sehingga satu tempoh dimaklumkan kelak.

"Sehubungan itu, seluruh rakyat Perlis diseru untuk bersama-sama memperbanyakkan doa, memperbaiki diri serta memohon keampunan agar negeri ini dikurniakan rahmat hujan dan dijauhkan daripada segala musibah.

"Dalam masa sama, umat Islam di negeri ini juga turut dianjurkan untuk memperbanyakkan doa agar diturunkan hujan pada sepanjang musim kemarau panjang dan kekurangan air yang sedang melanda," kata MAIPs.

Semalam, Bernama melaporkan Perlis merekodkan sejumlah 523 kes pembakaran terbuka setakat kelmarin (24 Mac) sejak Januari lepas iaitu peningkatan ketara berbanding Mac tahun lepas yang merekodkan hanya 162 kes pembakaran terbuka.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata peningkatan ketara kes itu antaranya disebabkan cuaca panas di negeri itu dan menasihati orang ramai supaya tidak membuang puntung rokok di merata-rata tempat dan perlu memastikan kawasan rumah dan kebun sentiasa bersih.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Meteorologi Perlis Nur Syarafina Shafi'e memaklumkan berdasarkan status terkini yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) setakat 4 petang semalam, Perlis berada pada Tahap 1 (kuning) iaitu tahap berjaga-jaga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan