Ad Banner
 AM > BERITA

Inovasi Penternakan Puyuh UPM Bantu Tingkat Pendapatan Komuniti

26/03/2026 12:15 PM

Oleh Amanina Mohamad Yusof

SERDANG, 26 Mac (Bernama) -- Universiti Putra Malaysia (UPM) membangunkan projek penternakan puyuh berasaskan inovasi sejak lima tahun lepas bagi menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan serta perkongsian kepada masyarakat.

Projek melalui Pusat Pertanian Putra itu melibatkan penuntut universiti dan komuniti luar melalui pelbagai program latihan berkaitan penternakan puyuh, merangkumi keseluruhan rantaian industri daripada pembenihan hingga pemasaran.

Ad Banner
Ad Banner

Pengarah Pusat Pertanian Putra Profesor Dr Siti Zaharah Sakimin berkata projek itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar dari segi pembelajaran praktikal, malah membantu komuniti memperoleh kemahiran untuk menjadikan penternakan puyuh sebagai sumber pendapatan.

“Ternakan puyuh antara ternakan mudah dijaga kerana tempoh jangka hayat hanya memerlukan lebih kurang sebulan daripada anak hingga sedia dipasarkan dengan kami terlibat sepenuhnya, iaitu sehingga aktiviti penjualan,” katanya kepada Bernama.

Siti Zaharah berkata inovasi penghasilan dedak menggunakan bahan asas seperti soya dan jagung yang diformulasikan khusus oleh penyelidik UPM membolehkan tempoh pertumbuhan puyuh dipercepat, sekali gus meningkatkan hasil pengeluaran.

“Dedak memerlukan kos yang sangat tinggi. Oleh itu, pegawai pertanian dan penyelidik daripada UPM  melakukan inovasi dengan menggunakan formulasi bahan asas serta pelbagai campuran kombinasi untuk menghasilkan dedak sendiri.

“Dengan ini, kami dapat menjimatkan kos makanan antara 50 hingga 60 peratus berbanding makanan komersial di pasaran. Secara tidak langsung ini meningkatkan keuntungan penternak, contohnya keuntungan jualan daging meningkat daripada sekitar RM2.50 kepada lebih RM3 seekor,” katanya.

Ladang penternakan puyuh UPM berkeluasan kira-kira 4.05 hektar itu menggunakan kira-kira separuh daripadanya bagi operasi penternakan dengan 600 ekor induk puyuh mampu menghasilkan lebih 500 telur setiap hari.

Siti Zaharah berkata telur akan digredkan sama ada untuk jualan atau ditetaskan bagi menghasilkan anak puyuh untuk dibesarkan sebagai puyuh pedaging.

Produk puyuh UPM dipasarkan melalui platform PutraMart, media sosial seperti Facebook dan TikTok serta jualan terus.

“Secara asasnya produk kami organik dan selamat kerana tidak menggunakan vaksin kepada hasil ternakan selain dedak diberikan juga dihasilkan sendiri,” katanya dan menambah produk puyuh itu mendapat Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP).

Selain itu, Siti Zaharah berkata UPM juga telah melatih 151 pelatih Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) sejak 2023 melalui program latihan berstruktur selama enam bulan.

Program latihan itu memberi pendedahan asas dan meliputi keseluruhan rantaian industri termasuk pembenihan, penjagaan, pengeluaran dan pemasaran dalam lapan plot latihan seperti tanaman tembikai matahari, nanas, jagung, cendawan serta ternakan puyuh, ayam, ruminan dan ikan air tawar.

Siti Zaharah berkata melalui program itu, peserta yang berminat dengan penternakan puyuh boleh membeli produk atau anak puyuh pada harga ladang untuk dipasarkan semula atau memulakan penternakan sendiri sebagai sumber pendapatan.

“Penternakan puyuh dilihat sebagai komoditi sesuai untuk usahawan baharu kerana tempoh penuaian hasil yang lebih cepat sekitar 27 hingga 30 hari berbanding ayam yang memerlukan kira-kira 46 hari,” katanya.

Selain PERHEBAT, UPM turut membuka peluang latihan kepada agensi luar, komuniti dan sekolah bagi memperluas pemindahan teknologi penternakan puyuh, selari dengan usaha meningkatkan keterjaminan makanan negara dan mengurangkan kebergantungan import.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan