Ad Banner
 AM > BERITA

Rakyat Perlu Bersatu Hati, Berfikiran Rasional Hadapi Krisis Tenaga Dunia - Zulkifli

27/03/2026 12:06 AM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Rakyat perlu terus bersatu hati, berfikiran rasional dan mengutamakan kemaslahatan umum dalam mendepani krisis tenaga dunia yang mencabar ketika ini susulan konflik di Asia Barat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung langkah terkini bagi menangani krisis tenaga itu wajar diterima dengan penuh keinsafan.

“Alhamdulillah, pemerhatian saya mendapati ramai yang rasional dan memahami situasi semasa, tidak kurang juga yang mendoakan dan memberikan sokongan pada waktu sukar ini. Sahabat luar negara juga menyatakan kekaguman mereka terhadap pendekatan Malaysia menangani krisis ini dengan begitu baik. 

Ad Banner
Ad Banner

“Dibandingkan dengan negara lain, Alhamdulillah Malaysia masih menikmati pelbagai kelebihan termasuk subsidi tenaga,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Anwar dalam perutusan khas hari ini mengumumkan kerajaan akan melaksanakan penyelarasan sementara kelayakan Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026 susulan konflik di Asia Barat.

Beliau bagaimanapun menegaskan harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter.

Perdana Menteri juga berharap agar rakyat memahami langkah penyelarasan sementara kelayakan tersebut dan menjelaskan bahawa ia bersifat sementara sehingga pasaran, bekalan minyak serta ekonomi dunia kembali stabil.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan