Ad Banner
 AM > BERITA

Paras Air Empangan Di Melaka Susut, Namun Masih Terkawal

28/03/2026 12:06 PM

ALOR GAJAH, 28 Mac (Bernama) -- Paras air semasa di tiga empangan di Melaka masih berada pada tahap normal walaupun dilaporkan menyusut antara 10 hingga 30 peratus ekoran cuaca panas yang dialami kebelakangan ini.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata paras air di Empangan Durian Tunggal berada pada tahap kira-kira 70 peratus, Empangan Jus (60 peratus) dan Empangan Asahan (90 peratus).

"Berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), taburan hujan yang tinggi dijangka bulan depan di pedalaman Pantai Barat meliputi kawasan tadahan air di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas Jamuan Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di sini malam tadi.

Ad Banner
Ad Banner

Hameed berkata pelbagai inisiatif mula dilaksanakan bagi memastikan bekalan air tidak terjejas sekiranya cuaca panas berlarutan termasuk pengepaman air dari Sungai Gerisik, Johor untuk disalurkan ke loji air Merlimau.

Beliau berkata beberapa kolam tadahan di negeri ini juga akan diaktifkan untuk menyalurkan air ke kawasan empangan sekiranya perlu dan setakat ini, tiada keperluan untuk memohon melaksanakan operasi pembenihan awan.

MetMalaysia sebelum ini memaklumkan fenomena cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini dijangka berterusan hingga awal Monsun Barat Daya (MBD) pada Jun, susulan keadaan atmosfera lebih kering dan taburan hujan rendah.

Sementara itu, Hameed berkata lebih 10,000 menghadiri Jamuan Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat DUN Ayer Limau yang berlangsung bermula 5 petang hingga 12 tengah malam tadi.

Katanya antara yang turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam serta isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman dan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta isteri Datin Seri Zuriyah Ab Aziz.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan