IPOH, 28 Mac (Bernama) -- Jabatan Mufti Negeri Perak menasihatkan agar pelaksanaan acara "Tidur Lambak" iaitu tidur beramai-ramai secara santai diperhalusi semula dan pihak penganjur wajar merujuk kepada pihak berautoriti terlebih dahulu sebelum penganjuran berlangsung.
Menerusi kenyataan hari ini, jabatan berkenaan memaklumkan Jabatan Mufti dan Jabatan Agama Islam negeri-negeri juga wajar dirujuk supaya matlamat sesuatu acara itu tercapai dengan jayanya menerusi aktiviti mematuhi syarak serta mengangkat nilai kemuliaan manusiawi.
"Beraktiviti atau berekreasi bagi menyegarkan ingatan serta bernostalgia tidaklah ditegah secara mutlak, namun perlu akur dan tunduk kepada panduan syarak yang memandu kehidupan manusia agar terselamat di dunia dan akhirat," menurut kenyataan itu yang dimuat naik menerusi laman Facebook jabatan berkenaan.
Jabatan Mufti Negeri Perak memaklumkan acara yang diilhamkan daripada pengalaman atau budaya unik masyarakat Malaysia itu antara lain mengetengahkan suasana semasa balik kampung dan semua orang tidur beramai-ramai dalam satu ruang.
Menurut kenyataan itu, difahamkan acara yang akan diadakan di bandar raya ini pada semalam (27 Mac) dan hari ini (28 Mac) bermatlamat menghidupkan semula pengalaman budaya lama yang disegarkan semula dengan konsep moden, di samping menggalakkan hubungan sosial serta membuka pengalaman kepada individu yang tidak pernah mengalami suasana dan budaya sedemikian.
-“Jabatan ini secara dasarnya tidak membantah secara keseluruhan aktiviti-aktiviti yang dirangka namun berpandangan bahawa acara sedemikian perlu kepada penelitian yang saksama dengan merujuk kepada elemen syarak dan adat Melayu agar pelaksanaannya tidak mengundang fitnah terhadap agama Islam.
"Implementasi syarak dalam seluruh dimensi kehidupan bermatlamat untuk kemaslahatan manusia sendiri dan hal ini tercakup juga dalam sebarang penganjuran acara dan program yang melibatkan individu dan keluarga Muslim khususnya dan masyarakat amnya," menurut kenyataan itu.
Jabatan itu memaklumkan bukan tujuan beragama untuk menyempitkan wewenang kehidupan seseorang dan memutuskan hubungan sosial sesama manusia, namun ia sebagai penyelamat kepada diri manusia itu sendiri daripada kehinaan dan kerosakan nilai harga diri manusiawi.
Menurut kenyataan itu, acara selama dua malam yang bukan hanya berkonsepkan kemeriahan tetapi ketenangan dan nostalgia, diserikan dengan gabungan bunyi serta artistik yang boleh mengundang kedamaian untuk beristirehat, secara asasnya tidak mendatangkan jurang pertikaian.
Bagaimanapun, kekhuatiran utama adalah potensi ikhtilat (percampuran) antara lelaki dan perempuan bukan mahram yang dilakukan secara pilihan boleh mengundang sesuatu yang bercanggah dengan syarak.
Antara perkara yang bakal terhasil sewaktu berlakunya percampuran ialah kesukaran memelihara pandangan, tersingkap batasan aurat, sentuhan dengan bukan mahram serta perkara lain yang bercanggah dengan syarak yang amat perlu dielakkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial