Ad Banner
 AM > BERITA

Perak Sasar 380 Unit Rumah Perakku Siap Menjelang 2027 - Saarani

28/03/2026 02:46 PM

TANJONG MALIM, 28 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak bakal membina 340 unit Rumah Perakku di Kota Prima di sini yang dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun depan.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata projek yang akan dibina di kawasan seluas 14.58 hektar itu dilaksanakan dalam dua fasa dengan fasa pertama melibatkan pembinaan 199 unit rumah manakala fasa kedua merangkumi 141 unit.

“Secara keseluruhan projek ini akan dibangunkan dalam dua fasa. Fasa pertama akan melibatkan pembinaan 199 unit rumah terdiri daripada 48 unit rumah Perakku I, 38 unit rumah Perakku II dan 113 unit rumah Perakku III.

Ad Banner
Ad Banner

“Fasa dua pula melibatkan 141 unit rumah teres setingkat menjadikan keseluruhan sebanyak 340 unit rumah dengan keluasan sekitar 800 kaki persegi (74.32 meter persegi) serta tiga bilik tidur dan dua bilik air,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Rumah Perakku Kota Malim Prima di sini hari ini.

Saarani berkata harga ditawarkan bermula daripada RM90,000 hingga RM250,000 bagi Perakku I, Perakku II dan Perakku III yang mencerminkan komitmen kerajaan negeri memastikan kediaman mampu milik kekal dalam jangkauan golongan B40 dan M40.

Beliau berkata pembangunan berkenaan juga selari dengan perkembangan daerah Muallim sebagai hab automotif negara melalui Automative High-Tech Valley (AHTV), sekali gus meningkatkan permintaan terhadap perumahan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

“Projek ini terletak di lokasi strategik dengan jarak kira-kira enam kilometer ke Proton City dan 6.8 kilometer ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sekali gus menjadikannya kawasan yang sesuai untuk didiami dan berpotensi tinggi,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus mempergiat usaha memperluas pembangunan Rumah Perakku di lokasi strategik lain bagi memastikan lebih ramai rakyat berpeluang memiliki kediaman sendiri selaras dengan dasar perumahan inklusif negeri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan