Ad Banner
 AM > BERITA

JPJ Kemas Kini Garis Panduan Institut Memandu, Benar Bina Litar Latihan Dalam Bangunan

28/03/2026 04:27 PM

BALING, 28 Mac (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengemas kini garis panduan permohonan penubuhan Institut Memandu (IM) baharu, termasuk membenarkan pembinaan litar latihan di dalam bangunan bertingkat.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata garis panduan itu digubal selaras dengan peruntukan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Sekolah Memandu) 1992 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] bagi memperkukuh kawal selia industri institut memandu.

“Garis panduan ini turut menetapkan pembangunan IM dalam bangunan bertingkat sebagai langkah inovatif bagi mengatasi kekangan tanah, khususnya di kawasan padat dan bernilai tinggi.

Ad Banner
Ad Banner

“Bagaimanapun beberapa aspek perlu dipenuhi, termasuk jaminan tahap keselamatan fizikal yang tinggi kepada calon, tenaga pengajar dan orang awam, serta reka bentuk ruang dalaman yang kondusif, selamat dan menyokong kesinambungan latihan memandu tanpa gangguan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Institut Memandu Warisan Integriti Kuala Ketil, dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengarah JPJ Kedah Stien Van Lutam dan Pengarah Bahagian Pelesenan Pemandu JPJ Mohd Kamal Hisham Abu Bakar.

Beliau berkata pihak yang berminat menubuhkan IM dengan konsep baharu itu dialu-alukan mengemukakan permohonan yang dibuka tanpa had masa.

“Kami turut membuka peluang kepada mana-mana pihak yang berminat menubuhkan institut memandu di dalam bangunan. Contohnya, pihak yang mempunyai tanah, bangunan atau gudang luas yang tidak digunakan boleh mengemukakan cadangan kepada JPJ untuk membangunkan kawasan tersebut.

“Jika terdapat bangunan bertingkat seperti pusat beli-belah yang tidak digunakan, mereka boleh memohon kepada JPJ untuk menubuhkan IM. Namun, kelulusan tertakluk kepada syarat. Kita perlu memastikan aspek keselamatan bangunan dipatuhi, terutamanya jika pembinaan litar melibatkan kawasan seperti bumbung. Struktur bangunan mestilah kukuh dan mematuhi spesifikasi ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata pembinaan IM di bangunan bertingkat bagaimanapun hanya melibatkan latihan lesen memandu Kelas D dan B, iaitu kereta dan motosikal.

Sementara itu, Aedy Fadly berkata antara garis panduan baharu lain termasuk pertimbangan kewajaran penubuhan IM berdasarkan kapasiti serta kesediaan IM sedia ada di sesuatu kawasan.

“Tiada lagi penetapan jarak minimum antara IM baharu dengan IM sedia ada, malah tiada had minimum keluasan tanah untuk pembinaan IM baharu.

“Kami juga ingin memaklumkan bahawa tiada lagi persempadanan kawasan bagi kriteria penetapan calon. Ini bermakna institut memandu di Malaysia boleh menerima calon dari mana-mana kawasan, tidak lagi tertakluk kepada lokasi institut berkenaan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan