Oleh Ummu Khalidah Hamzah
KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Usaha untuk menggalakkan kewujudan bersama yang harmoni antara manusia dan hidupan liar di kawasan bandar di Pulau Pinang semakin mendapat tempat melalui pendekatan berasaskan sains yang diterajui sebuah perusahaan pemuliharaan primat, Langur Project Penang (LPP).
Pengasas dan ketua LPP Dr Jo Leen Yap berkata inisiatif itu memperkukuh pengumpulan data mengenai pergerakan hidupan liar di samping membolehkan orang ramai mengambil bahagian dalam aktiviti saintifik serta mengubah persepsi terhadap primat yang sering dianggap agresif.
“Melalui penglibatan sukarelawan daripada pelajar sehingga golongan pekerja, inisiatif ini memperkasakan orang awam untuk menyumbang kepada penyelidikan saintifik seperti memerhati tingkah laku hidupan liar, merekod corak pergerakan serta mendokumentasikan interaksi di lapangan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.
Beliau berkata inisiatif itu berteraskan tiga tonggak utama, iaitu sains warga, penyelidikan saintifik dan pendidikan alam sekitar yang saling melengkapi dalam menangani cabaran yang timbul daripada interaksi antara manusia dan hidupan liar.
Data yang dikumpulkan oleh sukarelawan dianalisis dan digunakan untuk membangunkan strategi praktikal bagi meningkatkan kewujudan bersama, termasuk pemasangan jambatan kanopi yang menyediakan lintasan lebih selamat untuk hidupan liar di kawasan yang terjejas akibat penyerpihan habitat.
Yap berkata idea pembinaan jambatan kanopi tercetus pada 2017 semasa penyelidikannya mengenai lotong kelabu (dusky langur) di Teluk Bahang, apabila beliau memerhatikan haiwan seperti monyet dan musang semakin diasak ke pinggir hutan kerana jalan raya yang membahagikan habitat mereka.
“Mereka terpaksa ke seberang jalan yang sibuk hanya untuk mencari makanan serta perlindungan, dan antara 2016 hingga 2017, kami melihat banyak kes monyet berlari melintas jalan raya yang menyaksikan kematian kerap berlaku. Ketika itulah kami menyedari terdapat kekurangan kemudahan lintasan selamat untuk hidupan liar di Malaysia,” katanya.
Berlatarbelakangkan inspirasi dari negara seperti Brazil, Costa Rica, India dan Australia yang telah memperkenalkan koridor di puncak pokok untuk membantu haiwan arboreal melintas dengan selamat, LPP melancarkan “Projek Jambatan Kewujudan Bersama” dengan kerjasama Animal Project and Environmental Education (APE) Malaysia.
Pasukan itu menggunakan semula hos bomba terpakai yang diilhamkan daripada penggunaan serupa di Amerika Syarikat dan menguji bahan tersebut bersama Universiti Sains Malaysia yang mengesahkan kesesuaiannya untuk jambatan kanopi bagi haiwan bersaiz sederhana.
“Jambatan pertama dipasang pada 2019 dengan kelulusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Sejak itu, kami telah merekodkan sehingga sembilan spesies menggunakan jambatan tersebut, termasuk monyet ekor panjang dan ular pokok syurga,” katanya.
Susulan kejayaan ini, jambatan kedua telah dipasang di Tanjung Bungah pada 2024, manakala jambatan ketiga akan dipasang bulan depan.
Beliau berkata LPP bekerjasama rapat dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN), Jabatan Kerja Raya dan Tenaga Nasional Berhad bagi memastikan pemasangan jambatan kanopi serta usaha pengurusan habitat mematuhi keperluan keselamatan dan peraturan.
Sementara itu, pengurus projek LPP Hui Yi Wong berkata penglibatan komuniti dan pendidikan alam sekitar adalah kunci untuk memperbaiki sikap orang awam terhadap hidupan liar.
“Ramai orang beranggapan monyet agresif secara semula jadi, tetapi hakikatnya tingkah laku mereka banyak dipengaruhi oleh tindakan manusia seperti memberi makanan dan pengurusan sisa yang lemah,” katanya sambil menekankan bahawa pemberian makanan menyebabkan haiwan mengaitkan manusia dengan sumber makanan, manakala sisa yang tidak diurus menarik hidupan liar ke kawasan yang didiami manusia.
Melalui program ini, pelajar, keluarga dan komuniti setempat dilatih untuk lebih memahami habitat hidupan liar serta bertindak dengan selamat dan bertanggungjawab ketika berhadapan dengan haiwan.
Aktiviti dijalankan di kawasan hijau di seluruh Pulau Pinang, termasuk Taman Botani Pulau Pinang dan Taman Rimba Teluk Bahang, serta di tapak jambatan kanopi untuk mempamerkan usaha pemuliharaan secara langsung.
Para peserta juga diberi pendedahan secara praktikal kepada peralatan sains seperti teropong, perangkap kamera dan aplikasi iNaturalist, membolehkan mereka merasai pengalaman kerja lapangan yang serupa dengan yang dijalankan oleh penyelidik LPP.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial