Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sesi Persekolahan Di Kota Setar, Pendang Kembali Dijalankan Secara Bersemuka Esok

31/03/2026 01:47 PM

ALOR SETAR, 31 Mac (Bernama) -- Sesi persekolahan di daerah Kota Setar dan Pendang akan kembali dijalankan secara bersemuka mulai esok selepas, susulan kedua-dua daerah berkenaan mencatatkan suhu Tahap 1 (berjaga-jaga) iaitu 35 hingga 37 darjah Celcius, sejak semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Abdul Rahim Mat berkata pihaknya sentiasa memantau tahap bacaan suhu dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum menentukan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di negeri itu.

“Dalam sehari dua ini sudah hujan dan bacaan suhu menunjukkan trend menurun kepada Tahap 1...sebelum ini Tahap 2, sebab itu sesi pembelajaran secara PdPR dilaksanakan bagi mengelakkan murid terdedah dengan cuaca panas,” katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 peringkat Kedah di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata berikutan bacaan suhu sudah menurun, sekolah akan beroperasi seperti biasa, bagaimanapun segala aktiviti di sekolah dilaksanakan mengikut garis panduan yang akan diedarkan kepada pihak sekolah, waris dan pelajar.

“Pastikan murid ini terlindung daripada cuaca panas serta minum air dengan jumlah yang banyak. Sepanjang sesi PdPR, semuanya berjalan lancar seperti dirancang, cuma ada beberapa kekangan antaranya murid terpaksa berkongsi gajet dengan ibu bapa mereka.

“Tetapi, walau apa pun kekangan dihadapi, proses pembelajaran mereka berjaya diteruskan dan selesai dengan jayanya, cuma lokasi dan masa pembelajaran sahaja berbeza,” katanya.

Sebelum ini, JPN memaklumkan sebanyak 86,030 pelajar terlibat dalam pelaksanaan PdPR selama tiga hari bermula Ahad lepas, melibatkan 65,634 pelajar dari 154 sekolah di daerah Kota Setar, manakala 20,396 pelajar dari 52 sekolah di Pendang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan