Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

SPM 2025: Pencapaian Cemerlang Pelajar Orang Asli Cermin Komitmen JAKOA - TPM Ahmad Zahid

31/03/2026 04:50 PM

PUTRAJAYA, 31 Mac (Bernama) -- Pencapaian cemerlang pelajar Orang Asli dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bersama pelbagai agensi dalam memperkasa pendidikan komuniti itu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kejayaan itu membuktikan setiap pelajar mendapat perhatian serta peluang yang saksama tidak kira di mana mereka berada.

“Hari ini, kita menyaksikan satu pencapaian yang amat membanggakan apabila empat pelajar Orang Asli berjaya memperoleh keputusan 9A, manakala 114 pelajar mencatat keputusan cemerlang 5A ke atas, meningkat daripada 87 pelajar pada tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Dalam pada itu sebagai individu yang menggalas amanah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Ahmad Zahid menzahirkan rasa bangga apabila 7,636 pelajar daripada 57 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM)  termasuk 80 pelajar MRSM berjaya memperoleh semua A+ dalam SPM 2025.

“Lebih membanggakan, keputusan SPM 2025 bagi MRSM mencatatkan indeks Gred Purata Maktab (GPM) 2.067 dengan 100 peratus calon layak menerima sijil peperiksaan tersebut. 

"Lima MRSM berada dalam kelompok teratas terbaik secara keseluruhan, mengatasi Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan sekolah harian lain di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata hasil pelbagai inisiatif berterusan kerajaan, khususnya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), jurang pencapaian antara calon bandar dan luar bandar semakin mengecil sebanyak 0.04 mata berdasarkan Gred Purata Kebangsaan (GPK).

“Kerajaan akan terus memperkukuh ekosistem pendidikan luar bandar, termasuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif agar setiap pelajar dapat mencapai potensi terbaik mereka,” katanya.

Beliau berkata institusi seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan GiatMARA menyediakan ruang yang lebih luas untuk pelajar meneroka potensi diri melalui ekosistem UP_TVET yang lebih tersusun dan menyeluruh.

"Hari ini, TVET bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya telah menjadi arus perdana baharu dalam membina tenaga kerja mahir, berpendapatan tinggi serta relevan dengan keperluan industri masa hadapan. Malah, 53.9 peratus lepasan SPM memilih laluan TVET," katanya.

Ahmad Zahid turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon SPM 2025 atas pencapaian yang amat membanggakan dengan menyifatkan ia sebagai hasil usaha gigih pelajar, dedikasi luar biasa pendidik serta doa dan sokongan berterusan ibu bapa.

“Prestasi tahun ini amat memberangsangkan apabila seramai 13,779 calon berjaya mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan