Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Melangkaui Larangan: Peranan Ibu Bapa Penting Bagi lindungi remaja Dalam Talian, Kata  pakar

31/03/2026 08:51 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Walaupun kerajaan sedang berusaha memperkukuh keselamatan dalam talian, pakar berpendapat ibu bapa tetap perlu memainkan peranan aktif dengan meningkatkan literasi digital dan membina hubungan yang lebih erat dengan anak-anak bagi melindungi mereka daripada bahaya dalam talian.

Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Content Forum) Mediha Mahmood berkata walaupun usaha penguatkuasaan sedang dijalankan, ibu bapa perlu memupuk komunikasi terbuka dengan anak-anak mereka, terutamanya remaja mengenai penggunaan media sosial.

“Perbincangan sekarang adalah tentang mencari titik tengah dengan ibu bapa juga memainkan peranan, terutamanya remaja yang lebih berusia. Memandangkan mereka pasti akan terdedah kepada media sosial, sepatutnya mereka dibimbing dan bukannya disekat sepenuhnya daripada ruang tersebut,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau menekankan bahawa komunikasi adalah kunci, sambil menyatakan bahawa mengenakan peraturan tanpa penjelasan tidak mungkin berkesan.

“Perkara paling penting ialah ibu bapa perlu berkomunikasi dengan anak remaja. Pada zaman ini, walaupun sebagai orang dewasa, memberitahu seseorang ‘jangan buat hanya kerana saya kata begitu’ tidak lagi berkesan. Ibu bapa perlu berbincang dengan remaja mengenai risiko, bagaimana mereka boleh dilindungi dan mengapa langkah-langkah ini penting,” katanya kepada pemberita semasa Latihan #ThinkTwice TikTok mengenai Kesejahteraan Digital Remaja di sini hari ini.

Latihan #ThinkTwice merupakan siri bengkel Train-the-Trainer yang bertujuan melengkapkan pemimpin komuniti, termasuk ibu bapa, pencipta kandungan, ahli akademik dan pertubuhan masyarakat sivil dengan pengalaman praktikal dan langsung dalam keselamatan dalam talian.

Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan TikTok untuk membina komuniti dalam talian yang lebih celik maklumat dan bertanggungjawab.

Mediha berkata ibu bapa juga mesti melengkapkan diri dengan pengetahuan digital, alat serta pemahaman tentang ciri keselamatan bagi melindungi anak-anak mereka dengan lebih baik di dalam talian.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Kumpulan Tindakan Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE) Tunku Munawirah Putra berkata ibu bapa seharusnya mendidik anak-anak mengenai ciri keselamatan dan risiko berkaitan media sosial, bukannya hanya bergantung kepada larangan semata-mata.

“Pada akhirnya, larangan tetap larangan. Jika mereka tidak selamat, mereka akan mencari cara lain, contohnya menggunakan VPN. Kemudiannya? Adakah anda fikir mereka benar-benar selamat? Ibu bapa perlu mengajar mereka cara yang betul untuk kekal selamat. Komunikasi secara bersemuka juga sama penting kerana ibu bapa merupakan sumber kepercayaan bagi anak-anak mereka,” katanya.

Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) yang berkuat kuasa pada 1 Jan tahun ini juga memperkenalkan rangka kerja yang menekankan keselamatan kanak-kanak.

Antara langkah utama ialah tanggungjawab yang lebih jelas ke atas platform dalam talian serta mekanisme pengesahan umur untuk menghalang kanak-kanak di bawah 16 tahun membuka akaun media sosial, seterusnya meningkatkan perlindungan mereka dalam talian.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan