ARAU, 31 Mac (Bernama) -- Detik cemas ketika berdepan banjir semasa menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 tidak mematahkan semangat seorang calon dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Sheikh Ahmad di sini untuk mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh 6A+, 1A dan 2A-.
Iris Soraya Mohammad Nasri, 18, yang bapanya meninggal ketika berada di Tingkatan Tiga berkata kejadian banjir yang melanda Perlis pada masa itu menyebabkan beliau bersama rakan-rakan terpaksa dipindahkan ke asrama dengan menaiki kenderaan tentera dalam keadaan tergesa-gesa.
“Memang saya terkejut sebab tidak sangka banjir akan berlaku. Kami semua gelisah kerana tidak tahu bagaimana nak menjawab peperiksaan dalam keadaan itu.
“Kertas peperiksaan sampai lewat dan persiapan kami jadi kelam-kabut. Kami berjaga hingga lewat malam untuk ulang kaji bersama,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Beliau berkata situasi itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan calon, namun bantuan pihak sekolah yang menyediakan dewan sebagai pusat pemindahan sementara membolehkan mereka meneruskan peperiksaan dengan lebih teratur.
Menurut Iris Soraya, sebelum peperiksaan beliau konsisten membuat latihan setiap hari selain bangun seawal 5 pagi untuk menunaikan solat tahajud dan mengulang kaji pelajaran.
“Saya memang tak jangka dapat keputusan sebegini. Dari semalam saya rasa gelisah dan takut, tetapi bila buka keputusan secara dalam talian, saya terus menangis sebab terlalu gembira,” katanya.
Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata sumber pendapatan ibunya bergantung kepada hasil pertanian dan ibunya terpaksa berulang-alik dari Kampung Kubang Beruang, Kodiang, Kedah untuk menghantar beliau ke sekolah.
Beliau yang mengambil aliran sains tulen dengan mata pelajaran Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan itu bercita-cita menjadi doktor atau jurutera sekiranya tidak berpeluang dalam bidang perubatan.
Iris Soraya berkata kejayaan itu menjadi pembakar semangat untuk terus berusaha mencapai impian demi mengubah nasib keluarga.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial