KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Malaysia perlu terus melaksanakan reformasi untuk membina semula asas ekonominya dan kekal berdaya saing pada peringkat global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata walaupun kerajaan telah menunjukkan keupayaan untuk melaksanakan dasar utama, kadar pelaksanaan reformasi perlu dipercepat bagi mencapai hasil yang lebih kukuh.
"Kita perlu melakukan reformasi dan membina semula asas yang diperlukan untuk ekonomi … hal ini bermaksud membuat keputusan yang berani, walaupun tidak popular.
"Kita perlu memberikan tumpuan kepada perkara yang benar-benar membawa perubahan, tetapi jangan mengharapkan semua perubahan itu berlaku secara serentak," kata beliau semasa menjadi moderator Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri 9 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM) di sini, malam ini.
Forum itu menampilkan panel terdiri daripada Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dan Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia di Malaysia Dr Apurva Sanghi.
Anwar berkata reformasi institusi turut diperkukuh, dengan lebih penekanan terhadap ketelusan, tadbir urus dan pelaksanaan profesional.
Beliau berkata kestabilan politik membolehkan kerajaan melaksanakan langkah-langkah progresif termasuk usaha untuk menangani kemiskinan dan menambah baik tadbir urus.
"Kita akan terus melakukan lebih banyak lagi … masih banyak yang perlu dilaksanakan, khususnya dalam meningkatkan kualiti pendidikan, menambah baik ketelusan dan memperkukuh pengurusan ekonomi," kata beliau.
Perdana Menteri berkata reformasi berterusan amat penting untuk memastikan Malaysia kekal berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global dan cabaran geopolitik.
Bertajuk "Memacu Ekonomi Malaysia: Peranan Sektor Kewangan dan Reformasi Struktur Dalam Mendepani Ketidaktentuan Geopolitik Global", forum itu dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama BNM, menumpukan peranan sektor kewangan dan reformasi struktur dalam memacu ekonomi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial