Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Inside Scoop Lancar Koleksi “Rasa-Rasa Malaysia” Sempena TMM 2026

01/04/2026 10:13 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Jenama aiskrim tempatan, Inside Scoop, melancarkan koleksi istimewa “Rasa-Rasa Malaysia” bagi mengajak rakyat negara ini menikmati keunikan warisan kulinari negara menerusi setiap skup aiskrim yang disajikan.

Dalam kenyataan hari ini, Inside Scoop memaklumkan koleksi edisi terhad bersempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 itu akan ditawarkan bermula 6 April hingga 11 Mei ini di semua cawangannya di seluruh negara.

Koleksi berkenaan diinspirasikan daripada ramuan tempatan serta kisah tradisi setiap negeri, sekali gus menjadikan setiap kunjungan ke Inside Scoop sebagai satu pengembaraan cita rasa merentasi Malaysia.

Ad Banner
Ad Banner

“Koleksi edisi terhad ini menampilkan enam perisa baharu yang melambangkan identiti unik negeri di Malaysia, bermula daripada keriuhan kota Kuala Lumpur hingga ke pelosok warisan Melaka, keunggulan sejarah Johor, keindahan pemandangan Kelantan, kedinginan tanah tinggi Pahang, serta kekayaan hutan hujan Sarawak yang menghijau,” menurut kenyataan itu.

Perisa diperkenalkan ialah “Affogato” (Johor) yang memberi penghormatan kepada kopi Liberica Muar dikenali sebagai “Elephant Bean”; “Dark Chocolate Banana” (Kelantan) yang mengetengahkan hasil tanaman Pantai Timur; serta “Dodol Musang King” (Melaka) yang menggabungkan sajian tradisional dengan raja buah.

Inside Scoop turut memperkenalkan perisa “Gula Apong Tiramisu” (Sarawak) yang menonjolkan keunikan “emas hitam” Borneo; “Moola ChocoMalt Kaw Dinosaur” (Kuala Lumpur atau Selangor) yang diinspirasikan daripada minuman klasik gerai mamak; serta “Strawberry Lemonade” (Pahang), gabungan aiskrim lemon dengan strawberi Cameron Highlands yang menyegarkan.

Setiap skup aiskrim disajikan dalam cawan khas yang dihiasi ilustrasi unik mengikut negeri, sekali gus boleh dijadikan sebagai cenderamata bermakna sepanjang pengembaraan cita rasa ini.

Bagi menambah keterujaan, jenama itu turut memperkenalkan aktiviti jejak cap (stamp rally) menerusi pembelian Pek Rasa-Rasa edisi terhad berharga RM70, dengan pelanggan akan menerima Pasport Aiskrim untuk mengumpul cap unik di setiap cawangan.

“Setiap cawangan menampilkan reka bentuk cap tersendiri, menjadikan setiap kunjungan satu pengalaman mini yang menarik bagi pelanggan yang ingin melengkapkan koleksi mereka,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengasas Bersama Inside Scoop Edmund Tan dalam kenyataan sama berharap koleksi berkenaan dapat mencetuskan inspirasi kepada peminat aiskrim untuk meneroka keunikan setiap negeri di Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai perisa baharu dan tawaran terkini, orang ramai boleh layari @myinsidescoop di Instagram dan Facebook, serta @insidescoopmy di TikTok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan