KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- The Malaysian Philharmonic Youth Orchestra (MPYO) bakal menjadi tumpuan utama pada konsert istimewa 15 April ini di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), menampilkan program bertenaga yang mempamerkan karya-karya agung muzik klasik.
MPYO dalam kenyataan memaklumkan di bawah pimpinan Gerard Salonga, orkestra belia itu akan mempersembahkan karya-karya Wolfgang Amadeus Mozart termasuk Piano Concerto No.19 (first movement), Overture to The Magic Flute dan Symphony No.39 serta Ludwig van Beethoven’s Piano Concerto No.1 (third movement).
Bertemakan Contours of Classical Beauty, konsert itu menonjolkan kedudukan ensembel belia tersebut yang semakin meningkat naik sebagai sebuah orkestra belia terkemuka di rantau ini.
"Menambah lagi daya tarikan, persembahan itu akan menampilkan dua pemain piano yang berpotensi sebagai pemain solo, Lim Yee Vaine yang berusia 12 tahun dan Dorothy Ong Zhuo En, 17, kedua-duanya bakal memukau penonton dengan bakat muzik mereka yang luar biasa," menurut kenyataan itu.
MPYO memaklumkan Yee Vaine telah memperoleh pengiktirafan di peringkat antarabangsa, memenangi pingat emas di Pertandingan Piano Junior Yamaha di Jepun pada 2023, serta meraih hadiah utama di Pertandingan Piano Antarabangsa Bangkok dan Pertandingan Piano Belia Steinway Malaysia pada tahun yang sama.
Beliau meneruskan kejayaannya pada 2024 dengan menerima pengiktirafan di Pertandingan Piano Vivace, manakala komposisinya telah diiktiraf oleh Yamaha Jepun dan dipaparkan oleh Yamaha Music Latin America.
Sementara itu, Dorothy telah mengasah kemahirannya melalui kelas pakar bersama pemuzik piano terkenal dari Jerman dan Finland. Beliau juga pernah membuat persembahan di Konsert Euroasia Outreach – A Kaleidoscope of Colors II di Johor dan menyertai beberapa pertandingan berprestij.
MPYO dibimbing dan diasuh oleh pemuzik daripada Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) sebagai sebahagian daripada usaha untuk memupuk bakat muda dan mempromosikan penghargaan terhadap muzik klasik.
Tiket dijual pada harga RM50, RM100 dan RM150 (tempat duduk suite), manakala pelajar boleh menikmati kadar istimewa RM25.
Ia boleh dibeli melalui telefon di 03-2331 7007, melalui emel di boxoffice@dfp.com.my atau melayari www.mpo.com.my untuk maklumat lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial