Oleh Mohamad Harith Mohamad Nizar
IPOH, 3 April (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyediakan 3,000 topi keledar yang menepati piawaian Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) untuk pertukaran dengan topi keledar lama secara percuma sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Perak bermula hari ini.
Penolong Pegawai Penguat Kuasa Bahagian Keselamatan Jalan Raya Ibu Pejabat JPJ Putrajaya Shamima VPK Abdulla berkata Program Pertukaran Topi Keledar JPJ itu melibatkan agihan 1,000 topi keledar setiap hari, sepanjang tiga hari penganjuran program.
Beliau berkata program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan penunggang motosikal.
“Proses pendaftaran melibatkan lapan kaunter bagi memudahkan urusan orang awam yang ingin mendapatkan topi keledar baharu ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini hari ini.
Shamima berkata bagi melancarkan proses pertukaran topi keledar, pihak JPJ menggunakan sistem kupon bagi mengawal kesesakan pengunjung.
Beliau berkata syarat utama pertukaran ialah warganegara Malaysia dan setiap individu hanya layak menukar seunit topi keledar dengan menyertakan kad pengenalan asal sebagai bukti pendaftaran.
Pengunjung diwajibkan membawa topi keledar lama yang rosak atau tidak mengikut spesifikasi seperti helmet setengah atau helmet kura-kura untuk diserahkan sebelum menerima topi keledar baharu yang lebih selamat.
Shamima berkata sebelum mendaftar, pengunjung akan diberikan sesi pocket talk advokasi keselamatan jalan raya supaya mereka faham kepentingan menggunakan topi keledar yang menepati piawaian.
Beliau berkata setakat 4 petang tadi, sebanyak 527 unit topi keledar berjaya diedarkan kepada pengunjung manakala baki stok hari pertama dibawa ke hadapan bagi menampung jangkaan kehadiran lebih ramai pada esok dan Ahad.
Selain itu, Shamima berkata JPJ menjalankan kaji selidik melalui imbasan kod QR bagi mendapatkan maklum balas orang awam berhubung impak program advokasi dan pertukaran itu bagi penambahbaikan perkhidmatan pada masa hadapan.
Program pertukaran topi keledar itu bermula dari 9 pagi hingga 5 petang sepanjang tiga hari penganjuran PMR 2026 Perak, dengan waktu rehat dari 12 tengah hari hingga 2 petang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial