PUTRAJAYA, 3 April (Bernama) -- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hari ini menggariskan lima keutamaan strategik yang memerlukan sokongan padu sektor swasta sebagai langkah kritikal dalam mempercepat transformasi sistem penjagaan kesihatan negara ke arah model yang lebih mampan, bersepadu dan berpusatkan pesakit.
Beliau berkata keutamaan itu merangkumi penyertaan aktif dalam pelan nasional, penglibatan awal dalam fasa perintis, peralihan kepada penjagaan berasaskan nilai, kerjasama perkongsian data bagi penstrukturan kos yang lebih adil serta pemerkasaan integrasi kesihatan digital yang saling kendali dengan ekosistem awam seperti MySejahtera.
“Tindakan segera dan komitmen padu daripada semua pihak pada fasa ini amat kritikal. Ini adalah satu anjakan besar... daripada budaya saling menuding jari kepada penyelesaian sebenar bagi memastikan peralihan ini berjalan lancar dan memberi impak yang bermakna kepada rakyat.
“Sektor kesihatan awam akan sentiasa kekal sebagai tulang belakang negara. Namun, dengan menyelaraskan ekosistem bersama sektor swasta, kami dapat memastikan landskap kesihatan nasional kekal teguh, inklusif dan mampu menawarkan rawatan terbaik untuk setiap keluarga Malaysia,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.
Terdahulu, beliau bersama Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mempengerusikan sesi libat urus bersama ketua pegawai eksekutif hospital swasta, pengurusan tertinggi Kementerian Kewangan serta wakil Bank Negara Malaysia di sini.
Dzulkefly berkata perbincangan itu penting bagi memperkukuh pendekatan menyeluruh negara dalam usaha mentransformasikan landskap kesihatan negara.
“Saya sering tegaskan, sektor awam dan swasta mesti sentiasa bekerjasama dan saling melengkapi ke arah membangunkan sistem penjagaan kesihatan yang lebih mampan, telus dan berpusatkan pesakit,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial