Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PKR Tidak Lindungi Individu Salah Guna Kuasa - Fahmi

04/04/2026 12:28 AM

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- PKR tidak akan sesekali melindungi mana-mana pemimpin dan ahli yang didapati menyalahgunakan kuasa, kata Ketua Penerangan parti berkenaan Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata Perdana Menteri yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi amaran keras bahawa tiada sesiapa termasuk menteri akan dilindungi sekiranya terlibat dalam salah guna kuasa.

“Jangan pernah ambil kesempatan salah guna kuasa, jangan ambil kesempatan atau sempat ambil apa-apa... jangan sampai imej parti tercalar dengan pergi ke mana-mana kononnya mahu 'tengok lesen'... bila diberi amanah, jangan dinodai. 

Ad Banner
Ad Banner

“Ini peringatan kepada kita... kita dahulu berdepan dengan FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) untuk menghentikan penyalahgunaan kuasa... jangan pula sekarang kita membenarkan perkara yang sama berlaku dalam kalangan kita,” katanya.

Fahmi berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR bagi Wilayah Persekutuan 2026 di Bandar Tun Razak, Cheras di sini hari ini.

Pada masa sama, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi turut mengingatkan pemimpin supaya tidak terlalu selesa dengan jawatan.

Beliau berkata perubahan gaya hidup secara mendadak tanpa penjelasan munasabah boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

Fahmi turut menyeru semua pihak dalam PKR agar saling menegur secara berhemah melalui saluran yang betul.

“Kita boleh ada kepelbagaian pandangan dalam parti, dan parti tidak pernah menghalang anggota daripada menyampaikan suara serta pandangan. 

“Tapi ketika negara berdepan dengan krisis tenaga global dan isu-isu ekonomi, kita perlu bersatu hati mengetepikan perbezaan pandangan dan bersama dengan kerajaan untuk memastikan kita dapat mengharungi dugaan serta cabaran besar ini dengan jayanya,” kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata perbicaraan berhubung saman fitnah terhadap tiga individu yang mendakwa beliau menyalahgunakan tempat beribadah, iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah serta perintah Sultan Selangor akan bermula Isnin depan.

Beliau berkata kes itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Insya-Allah, pada Isnin ini... saya dimaklumkan bahawa saya akan menjadi saksi pertama,” katanya sambil menegaskan bahawa tindakan undang-undang itu diambil bagi membersihkan nama beliau.

Saman itu difailkan Fahmi secara berasingan pada 5 Sept 2023 terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo, penceramah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani dan pemilik akaun Facebook N13 Kuang Mohd Fauzan Madzlan berhubung dakwaan kononnya Ahli Parlimen Lembah Pantai berkenaan menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan