Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

JAKIM Tegas Tiada Kompromi Isu Halal Susulan Penemuan Berus Bulu Babi

04/04/2026 01:45 PM

PUTRAJAYA, 4 April (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar syarat dan piawaian Pensijilan Halal Malaysia, khususnya melibatkan unsur najis mughallazah seperti babi.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata ini termasuk tindakan menarik balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sebuah kilang kopi dan kilang biskut di Melaka yang dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) susulan penemuan berus mempunyai ciri bulu babi di premis berkenaan.

Beliau berkata syarikat terlibat telah diarahkan untuk menghentikan serta-merta penggunaan logo halal Malaysia, menarik balik semua produk yang terkesan daripada pasaran serta melaksanakan tindakan pembetulan dan penambahbaikan secara menyeluruh termasuk proses sertu mengikut hukum syarak dan garis panduan yang ditetapkan.

Ad Banner
Ad Banner

"Jabatan ini menghormati sepenuhnya bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri, yang bertanggungjawab dalam pengurusan pensijilan halal serta pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pemegang SPHM di peringkat negeri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata tiada sebarang kompromi atau keistimewaan akan diberikan kepada mana-mana pihak yang melanggar syarat dan piawaian Pensijilan Halal Malaysia.

"Sebarang ketidakpatuhan, khususnya yang melibatkan unsur najis mughallazah seperti babi, merupakan satu pelanggaran serius yang tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan tindakan tegas serta-merta," katanya.

Sehubungan dengan itu, Sirajuddin berkata JAKIM akan terus menggembeleng kerjasama strategik bersama semua pihak berkuasa terlibat dalam memperkukuh aspek pemantauan dan penguatkuasaan.

Beliau berkata tindakan bersepadu akan terus diambil bagi memastikan integriti Pensijilan Halal Malaysia sentiasa terpelihara, kemaslahatan masyarakat dalam memperoleh makanan halal terjamin, serta sebarang ketidakpatuhan ditangani dengan tegas dan segera.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan